Tumpuan :
Nasional

Perhilitan perlu ambil tindakan segera

Kejadian awal pagi tadi, seorang wanita Orang Asli maut dipijak gajah.

KUALA LUMPUR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) diminta mengambil tindakan segera mengatasi isu serangan gajah di Kampung Simoi Baru Pos Betau, Kuala Lipis, Pahang bagi mengelak lebih banyak nyawa terkorban.

Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor berkata, beliau dimaklumkan sudah lebih 10 kali aduan dan laporan dibuat penduduk kampung orang Asli sejak penghujung 2021 akibat kampung mereka diserang gajah.

Menurutnya, isu ini amat kritikal dan perlu diselesaikan kementerian serta jabatan berkaitan bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Penduduk bukan saja hidup dalam ketakutan tetapi turut kehilangan punca pendapatan.

“Gajah ini semakin kerap masuk ke kawasan perkampungan orang Asli ini dan kemuncaknya kejadian yang berlaku awal pagi tadi menyebabkan kematian seorang wanita orang Asli,” katanya kepada media, di sini, hari ini.

Ramli berkata, difahamkan kejadian terbaru itu lebih 20 ekor gajah menyerang perkampungan terbabit.

“Tindakan segera perlu diambil termasuk memindahkan gajah ini ke kawasan lain.

“Lebih menjadi tanda tanya ada yang memberitahu gajah itu seakan-akan jinak dan di badan diwarnakan seperti pernah dipelihara,” katanya.

Beliau berkata, tok batin orang Asli juga sudah bermesyuarat dan mereka akan bertindak ke atas gajah terbabit jika masih belum ada penyelesaian oleh Perhilitan.

“Adakah nilai nyawa orang Asli tidak berharga berbanding kepentingan gajah.

“Jangan salahkan orang Asli selepas ini jika mereka bertindak ke atas gajah terbabit demi menjaga keselamatan mereka dan sumber pendapatan tidak terjejas,” katanya.

Loading...
Terkini