comscore
Tumpuan :
Nasional

PERHILITAN nafi dakwaan pemancing diganggu harimau

Muhammad Luqman (kiri) menunjukkan lokasi dia terserempak harimau belang ketika mahu memancing di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran Taman Dovenby Fasa 2. – Foto: Ihsan pembaca

KUALA LUMPUR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menafikan haiwan yang didakwa mengganggu pemancing di ladang kelapa sawit berhampiran Taman Dovenby Fasa 2 di Sungai Siput adalah harimau belang.

Sebaliknya, Pengarah PERHILITAN Perak, Yusoff Shariff, memaklumkan haiwan terbabit adalah babi hutan berdasarkan kepada pengecaman tapak kaki yang dilakukan pihaknya.

Yusoff berkata, meskipun tidak memasang perangkap, pemantauan akan terus dilakukan bagi memastikan tiada perkara di luar jangkaan berlaku.

“Pemantauan tetap dilakukan kerana kawasan hutan berhampiran ladang kelapa sawit itu adalah laluan ke Hutan Simpan Gunung Korbu yang menjadi habitat harimau belang,” katanya

Terdahulu, seorang pekerja kilang Muhammad Luqman Haqim Muhamad Ghazali Lim, 22, mendakwa  terserempak harimau belang sewaktu mahu memancing di kawasan ladang kelapa sawit terbabit.

Dia ketika itu  berseorangan di hutan sementara menunggu kedatangan rakan, dia terhidu bau seakan kambing jantan, namun tidak begitu menghiraukannya sebelum dikejutkan kehadiran harimau dewasa berkenaan.

Kelibat binatang buas itu disedari selepas terdengar ngauman kuat di sebalik pangkal pokok sawit yang berjarak kira-kira tiga meter daripada tempat lelaki itu memancing.

Sementara itu,  Yusoff meminta masyarakat sekitar berhati-hati dan mengelak menggunakan laluan di ladang kelapa sawit berkenaan demi tujuan keselamatan.

Loading...
Terkini