comscore
Tumpuan :
Nasional

PERHILITAN Melaka tangkap buaya tembaga 200 kg di Sungai Malim

Timbalan Pengarah PERHILITAN Melaka, Alfiesyahril Anewar Ahmad (berkaca mata hitam) melihat buaya tembaga yang memasuki perangkap. – Foto ihsan pembaca.

MELAKA: Seekor buaya tembaga sepanjang 3.35 meter ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) di Sungai Malim, Malim Jaya, dekat sini, hari ini.

Buaya dianggarkan seberat 200 kilogram (kg) itu ditangkap menggunakan perangkap yang dipasang di sungai berkenaan susulan aduan penternak kambing dan penduduk mengenai ternakan mereka dibaham reptilia berkenaan sebelum ini.

Timbalan Pengarah PERHILITAN Melaka, Alfiesyahril Anewar Ahmad berkata, perangkap berkenaan dipasang sejak bulan lalu dan dialihkan ke beberapa lokasi di Sungai Ayer Salak, Kampung Tengah dekat Pulau Gadong, Klebang kerana tidak mengena.

“Kemungkinan ia (buaya) masuk perangkap awal pagi tadi sebab ketika pemeriksaan petang semalam, perangkap kosong.

“Perangkap ini dialihkan ke lokasi di Sungai Malim bulan lalu apabila umpan lama tidak bersentuh dan apabila anggota kita buat periksa kira-kira jam 10 pagi tadi didapati ada seekor buaya tembaga.

“Buaya ini antara yang kita syak membaham beberapa ekor kambing milik penduduk tempatan kerana terdapat banyak buaya di sungai ini,” katanya kepada media di sini.

Mengulas lanjut, Alfiesyahril Anewar berkata, berdasarkan aduan penduduk buaya yang menyambar kambing mereka bersaiz lebih besar dan warna yang berlainan.

“Buaya berkenaan antara sasaran kita yang masih bebas dan lebih besar daripada buaya yang ditangkap ini.

“Sungai Malim ini terus mengalir di Kampung Tengah dan mempunyai banyak sumber makanan dan menjadi habitat buaya. Bila kita alih perangkap ke sini baru mengena,” katanya sambil memberitahu pihaknya akan terus melakukan pemantauan sementara menunggu perangkap dibaiki semula.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini