Tumpuan :
Nasional

PERHILITAN Kelantan tangkap, pindahkan harimau kumbang

Harimau Kumbang yang berjaya ditangkap PERHILITAN di Paloh 1, di sini, semalam. FOTO: Ihsan PERHILITAN

GUA MUSANG: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan berjaya menangkap dan memindahkan seekor harimau kumbang di Paloh 1, di sini, semalam.

Pengarah PERHILITAN negeri itu, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya menerima makluman penduduk perangkap yang dipasang pada Ahad lalu berjaya memerangkap haiwan itu.

Katanya, operasi pemindahan haiwan liar itu dilakukan pada 12 tengah hari semalam oleh enam anggota Perhilitan Daerah Kuala Krai dan dibantu oleh kakitangan Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Gua Musang.

“Harimau kumbang ini akan dilepaskan ke habitat yang lebih sesuai dan selamat. Tangkapan harimau kumbang itu dapat meredakan keresahan penduduk kampung terhadap keselamatan mereka.

“Harimau kumbang ini dipercayai keluar dari Hutan Simpan Kekal (HSK) Relai yang terletak berhampiran dengan Kampung Gua, Paloh 1, untuk mencari makanan.

“Khidmat nasihat dan langkah mitigasi sudah diberikan kepada penduduk kampung supaya membersihkan kawasan semak di sekitar kampung dan kebun,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mohamad Hafid berkata, penduduk juga dinasihatkan sentiasa berteman semasa ke kebun, memasang lampu di sekeliling rumah pada waktu malam dan tidak masuk ke kawasan kebun pada waktu malam.

“Orang ramai juga adalah disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Perhilitan melalui talian Hotline Perhilitan 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini