comscore
Tumpuan :
Nasional

Perhilitan Kelantan tangkap gajah liar dan beruang matahari di Kuala Krai

FOTO: Ihsan Jabatan Perhilitan

KUALA KRAI: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan berjaya menangkap seekor gajah liar jantan dan beruang matahari jantan di dua lokasi berasingan, semalam.

Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, gajah liar itu ditangkap di Kampung Gua Ikan, Dabong manakala beruang matahari jantan ditangkap di Kampung Sungai Pas.

Katanya, gajah liar berkenaan ditangkap pada jam 11 pagi usaha Jabatan Perhilitan dan juga Unit Tangkapan Gajah (UTG).

“Pihak kami menerima aduan pada 29 Ogos lalu berkaitan enam ekor gajah liar yang merosakkan tanaman dan berkeliaran di kampung berkenaan sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.

“Susulan daripada aduan itu, Perhilitan Daerah Kuala Krai menjalankan siasatan serta mengambil tindakan kawalan dan pada 31 Ogos lalu, UTG Kelantan menjalankan operasi tangkapan di lokasi itu,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan sama Mohamad Hafid berkata, pada 27 Ogos lalu, Perhilitan Daerah Kuala Krai menerima aduan gangguan seekor beruang matahari yang merosakkan tanaman dan berkeliaran di kawasan kebun penduduk.

“Jabatan Perhilitan Daerah Kuala Krai kemudiannya memasang satu unit perangkap di kawasan berkenaan dan haiwan itu berjaya ditangkap pada jam 5.30 petang semalam.

“Beruang matahari yang ditangkap ini dipercayai dari Hutan Simpan Kekal (HSK) yang berdekatan iaitu HSK Sungai Rek dan jarak HSK dengan lokasi tangkapan ialah sejauh lima kilometer.

“Operasi pemindahan dijalankan pada hari yang sama dan beruang matahari ini akan dilepaskan ke Taman Negara Terengganu,” katanya.

Beliau menyarankan orang ramai juga supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan risiko keselamatan kepada diri sendiri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini