Tumpuan :
Nasional

PERHILITAN kaji populasi Harimau Malaya

Antara harimau yang berjaya ditangkap PERHILITAN.

KUALA LUMPUR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sedang menjalankan penyelidikan saintifik dan pemantauan berkala ke atas populasi Harimau Malaya atau harimau belang (Panthera Tigris Jacksoni) di habitat semula jadi haiwan itu.

Ia bagi memahami status populasi di satu kawasan dan merancang langkah pemuliharaan yang sesuai di lokasi yang berpotensi berlakunya konflik manusia-harimau berulang.

Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui pihaknya melaksanakan pelbagai inisiatif jangka pendek dan jangka panjang untuk melindungi dan memulihara Harimau Malaya.

Katanya, menyedari pentingnya menangani krisis populasi Harimau Malaya yang populasinya di habitat semula jadi dianggarkan kurang daripada 150 ekor, isu ini telah dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri pada 16 Jun 2021.

“Hasil mesyuarat tersebut maka terbentuknya satu Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF) yang dipengerusikan Perdana Menteri.

“Penubuhan MyTTF adalah kesepakatan dan komitmen tinggi Kerajaan Persekutuan dan negeri dalam menangani krisis populasi harimau belang.

“Ini menjadi platform rundingan bagi dasar, perundangan dan strategi negara untuk konservasi Harimau Malaya serta habitatnya,” katanya.

Menurutnya, masyarakat adalah mata telinga kepada kerajaan dan Jabatan Perhilitan bagi menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah hidupan liar.

Katanya, ia supaya maklumat yang disalurkan dapat diambil tindakan dengan sebaik mungkin melalui pelbagai media saluran penyampaian.

Untuk rekod, tahun ini terdapat kes dilaporkan membabit mengenai spesies mamalia karnivor ini yang ditemui mati.

Antara kes yang dilaporkan ialah penemuan bangkai seekor harimau belang di Sungai Dabong, Kuala Krai di Kelantan, Jun lalu.

Selain itu, seekor harimau belang ditemukan mati akibat dilanggar sebuah kereta dalam kejadian di Kilometer 314, Lebuh Raya Utara- Selatan arah utara, Perak, Julai lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini