Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: 20 rakyat Malaysia yang kini menetap di Mozambique berada dalam keadaan selamat daripada rusuhan dan pertempuran di negara berkenaan.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya memantau rapi pergolakan tersebut khususnya di kawasan bandar termasuk ibu negara, Maputo.
Menurutnya, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pretoria sentiasa berhubung dengan rakyat Malaysia melalui Konsul Kehormat di Mozambique.
“Tiada seorang pun rakyat Malaysia di sana dilaporkan terjejas dengan keadaan yang sedang berlaku. Bagaimanapun, Suruhanjaya Tinggi terus memantau keadaan di lapangan dengan teliti,” menurut kenyataan itu.
Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di Mozambique atau mereka yang memerlukan bantuan supaya mendaftarkan diri melalui E-Konsular dan mengekalkan komunikasi dengan Suruhanjaya Tinggi.
Selain itu, rakyat Malaysia yang tiada keperluan mendesak dinasihatkan untuk menangguhkan sebarang perjalanan ke negara terbabit pada masa ini.
Untuk sebarang bantuan, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pretoria boleh dihubungi di butiran berikut: Alamat: Suruhanjaya Tinggi Malaysia, No. 1007, Francis Baard Street, Arcadia, Pretoria 0083; Nombor Telefon: +27 (12) 342 5990; E-mel: [email protected].
“Kementerian terus komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di luar negara dan akan menyediakan maklumat terkini sekiranya perlu,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, memetik laporan berita antarabangsa, seramai 21 orang terbunuh termasuk dua pegawai polis dalam keganasan berkaitan pengesahan rasmi keputusan pilihan raya yang menjadi pertikaian di Mozambique.
Pihak berkuasa pilihan raya mengesahkan pemilihan semula parti Mozambique Liberation Front (FRELIMO), yang telah berkuasa selama 49 tahun, dalam pilihan raya presiden pada 9 Oktober lalu
Pembangkang menuduh berlaku penipuan pilihan raya dan mempertikaikan keputusan itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.