Oleh : Aslina Abu Bakar
KUALA LUMPUR: Keadaan pelajar Malaysia di Rusia masih selamat dan terkawal selepas pemberontakan bersenjata yang dilancarkan anggota tentera upahan Wagner baru baru ini. Menurut salah seorang daripada pelajar terbabit, Alyssa Minhad buat masa ini mereka dinasihatkan untuk tidak keluar memandangkan masih ada lagi kawalan keselamatan yang dilakukan tentera Rusia.
Beliau yang merupakan pelajar perubatan tahun tiga di Kursk State Medical University kira-kira 530 kilometer dari ibu kota Moscow ketika dihubungi buletintv3.my berkata buat masa ini pihak kedutaan Malaysia aktif mengumpul maklumat pelajar Malaysia di Rusia.
“Alhamdulillah, kami masih boleh menjalankan aktiviti kami seperti biasa. Kebanyakan penduduk tempatan juga sentiasa memberi maklumat kepada kami mengenai situasi terkini dan tiada kejadian teruk berlaku.
Bagaimanapun, pihak universiti sentiasa memaklumkan dan menyarankan semua pelajar untuk duduk dalam rumah dan tidak keluar ke kawasan awam kerana banyak aktiviti kawalan dilakukan tentera,” katanya.
Menurutnya, pihak kedutaan juga sentiasa memberi notis dan maklumat tentang keadaan terkini yang berlaku kepada semua pelajar luar termasuk dari Malaysia yang berada di Rusia.
Rusia meningkatkan kawalan ketenteraan di ibu kota Moscow dan bandar-bandar utama lain selepas tentera upahan Wagner yang dipimpin oleh Yevgeny Prigozhin dikatakan cuba menggulingkan kepimpinan tentera negara itu.
Keadaan dibimbangi menjadi semakin tidak menentu apabila Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy mendesak barat supaya mengambil kesempatan daripada keadaan itu dengan membekalkannya dengan lebih banyak senjata.
Ini kononnya kerana tentera Rusia ketika ini dalam keadaan tidak stabil apabila Prigozhin dan pasukannya secara tiba-tiba telah membatalkan rancangan mereka itu dan lari ke Belarus.
Tamat.