Oleh: Selwam Arjunan
GEORGE TOWN: Polis menahan lima lelaki termasuk seorang memiliki pistol yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai, di sini, awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supritenden V. Saravanan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.30 pagi berhubung pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki.
“Setiba di lokasi kejadian, pihak polis telah menahan seorang lelaki warga tempatan yang berlumuran darah kerana mengalami kecederaan di kepala sambil memegang pistol.
Polis menahan lima lelaki termasuk seorang memiliki pistol yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai, awal pagi tadi. pic.twitter.com/kh4yfEBlqa
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) December 6, 2023
“Sementara itu, dua lagi anggota polis telah mengejar sebuah motokar yang dinaiki sekumpulan lelaki tempatan, namun telah berlaku perlanggaran kedua-dua motosikal yang dinaiki anggota polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Susulan itu empat suspek dapat dicekup.
Ujarnya, siasatan awal mendapati punca pergaduhan disebabkan perselisihan faham antara suspek berusia 24 hingga 34 tahun dan polis telah merampas sepucuk pistol serta sebilah senjata tajam yang digunakan dalam pergaduhan itu.
Lelaki yang cedera di kepala telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan.
Kesemua suspek ditahan reman selama 4 hari bermula hari ini hingga 9 Disember.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.