Oleh: Hilmi Abdul Malik
PETALING JAYA: Remaja berusia 14 tahun antara lima yang ditahan susulan insiden pergaduhan ketika perlawanan bola sepak di Bandar Gamuda semalam.
Kejadian tular yang berlaku sekitar jam 10.40 malam itu dipercayai berpunca akibat wujud salah faham melibatkan kedua-dua pasukan.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, mangsa berusia 14 tahun diserang beberapa individu ketika cuba meleraikan kekecohan.
Remaja berusia 14 tahun antara lima yang ditahan susulan insiden pergaduhan ketika perlawanan bola sepak di Bandar Gamuda semalam. pic.twitter.com/F54ehp9gmS
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) January 6, 2024
“Pengadu telah datang dan meleraikan pergaduhan tetapi telah diserang oleh beberapa pemain yang lain.
“Akibat dari itu pengadu telah mengalami sakit di hidung, lebam di bahagian belakang, lebam di leher, muka dan sakit di seluruh bahagian badan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, hasil siasatan mendapati, pergaduhan tercetus melibatkan pasukan yang dikenali sebagai pasukan Sg Buaya FC dan Garage FC.
Difahamkan, kesemua mereka yang ditahan berusia 14 hingga 39 tahun bagi membantu siasatan.
Setakat ini, kedua-dua pasukan tampil membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.
Menerusi video tular, kekecohan yang tercetus turut menyaksikan insiden membaling kerusi selain memukul menggunakan helmet.