Tumpuan :
Nasional

Pereka kostum naga dan singa jadi buruan sempena Tahun Baharu Cina

 

Oleh: Zahir Senapiah

 

JOHOR BAHRU: Tidak lengkap sambutan Tahun Baharu Cina tanpa tarian singa atau naga.

Keunikan itu menjadikan pereka kostum kepala singa atau naga sering menjadi “buruan” setiap kali tiba Tahun Baharu Cina.

Begitupun ramai yang tidak tahu kelebihan kostum singa atau naga terletak pada keunikan rekaannya, sekaligus menentukan harganya yang mampu mencecah ribuan ringgit.

Antara pereka kostum kepala naga atau singa terkenal adalah Chan Tian Hwa atau lebih dikenali sebagai Tom.

Dilahirkan di kota Masai, Johor 43 tahun lalu Tom, mempelajari cara menghasilkan kostum kepala naga dan singa 20 tahun lalu.

Selepas menguasai kepakaran itu, beliau mula dikenali termasuk di luar Malaysia.

Keunikan rekaan kostumnya sering dinanti setiap kali tiba sambutan Tahun Baharu Cina.

Jelasnya, satu kostum naga berukuran 18 meter panjang.

Ia diperbuat daripada bahan seperti buluh, rotan, kain dan kertas dan mengambil masa satu bulan untuk disiapkan.

Satu kostum naga atau singa yang dihasilkan biasanya dijual pada harga dua ribu ringgit.

Harga mampu meningkat hingga puluhan ribu ringgit bergantung keunikan rekaan yang ditempah pelanggan.

“Antara kostum terpanjang yang saya pernah hasilkan adalah kostum naga sempena Pesta Tanglung Johor Bahru beberapa tahun lalu iaitu sepanjang 195 meter” katanya ketika ditemui di Kota Masai, dekat sini.

Bakat dan kebolehan beliau menghasilkan rekaan kostum yang unik menyebabkan beliau sering diburu setiap kali Tahun Baharu Cina.

“Tahun ini Dragon punya tahun so saya dapat order dari Taiwan sudah ada tiga ataupun empat ekor,  Indonesia ada lapan sampai sepuluh ekor, so Malaysia sendiri ada sepuluh sampai lapan belas macam itulah so tahun ini ong sikit lah sebab tahun Dragon dia orang yang bagi saya buat punya mahu special punya design” ujarnya.

Sebahagian besar tempahan diterima adalah dari persatuan atau orang perseorangan dari beberapa negara jiran seperti Indonesia, Vietnam dan China.

Tom pernah meraih pelbagai gelaran dalam siri pertandingan tarian naga dan singa di rantau Asia.

Beliau kini menjadi tenaga pengajar tarian naga dan singa di Pertubuhan Pengangkut Lian San Thai Zi, Kota Masai.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini