
Oleh: Faiz Rais
SHAH ALAM: Bagi rakyat Malaysia sudah pasti berasa bangga, mana tidaknya rupa-rupanya di sebalik kualiti rekaan jam tangan mewah antarabangsa, antara pakarnya adalah anak melayu dari Malaysia.
Berbekalkan lebih 30 tahun pengalaman dalam industri itu, kini Zainal Mohd Ali mampu membina jenamanya sendiri dibantu anak lelakinya.
Menceritakan sejarah terjebak dalam pembuatan jam tangan, Zainal yang berusia 70 tahun berkata segalanya bermula 49 tahun lalu apabila dirinya ditawarkan belajar membuat jam di Geneva yang terkenal dengan sejarah panjang dan kepakaran dalam bidang itu.
Dua tahun berikutnya kembali ke Malaysia sebelum berhijrah ke China selama 12 tahun berkhidmat sebagai pereka beberapa jenama jam mewah lain.
Kini, selepas bersara beliau tampil dengan jenama dan rekaan sendiri dengan hanya mengeluarkan sebanyak 300 unit jam tangan bagi setiap rekaan.
Menurut beliau, semasa berumur 21 tahun, dia ditawarkan untuk belajar di Switzerland bagi mempelajari proses pembuatan jam tangan.
Malah, beliau juga dapat belajar di antara sebuah syarikat yang tersohor di dunia.
“Permulaannya, apabila mula menubuhkan syarikat saya sendiri, saya tidak menjual secara dalam talian tapi secara fizikal. Sampaikan jual di bawah pokok untuk memperkenalkan jenamanya. Tidak kurang juga, sewaktu kecil saya tidak mampu membeli jam tetapi dapat memilikinya selepas bekerja,” katanya.
Selain itu, dia juga bercita-cita tinggi untuk membuka sebuah kilang jam dengan mengekalkan identiti buatan Malaysia.
Beliau berhasrat untuk mengambil beberapa penuntut di institusi pengajian tinggi untuk dihantar ke Switzerland bagi mempelajari ilmu rekaan jam tangan.
Beliau juga berkata, dia mahu mengambil beberapa penuntut Universiti untuk dihantar ke Switzerland bagi mempelajari ilmu rekaan jam tangan.
Perkara ini sedikit sebanyak boleh meningkatkan lagi kemahiran pelajar itu.
“Apabila kita sudah mempunyai ‘Movement’ iaitu motor jam tangan, ini lebih memudahkan untuk membuat sesuatu rekaan. Memang menjadi harapan saya untuk memiliki satu syarikat atau kilang yang lengkap dengan semua komponen jam tangan,” ujarnya semasa ditemu bual.
Justeru, selagi nyawa dikandung badan, Zainal mahu melahirkan lebih ramai pelapis muda yang mahir dalam rekaan sepertinya sekaligus menjadi kebanggaan negara.