Tumpuan :
Nasional

Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong diberi sambutan rasmi di Perdana Putra

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong yang hadir di negara ini bagi Sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11 selama dua hari, diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya.

Ia adalah lawatan kali kedua Lawrence ke Malaysia sejak menyandang jawatan itu pada 15 Mei 2024 selepas lawatan pertamanya pada 11 Jun tahun lepas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ketibaan beliau pada jam 9:50 pagi sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Wong kemudian memeriksa Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada 103 anggota dan tiga pegawai daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, anggota kabinet , diplomat asing serta pegawai kanan kerajaan.

Lawrence kemudian menandatangani buku pelawat sebelum memulakan perbincangan bersama Datuk Seri Anwar.

Kedua-dua pemimpin juga dijadual menyaksikan pertukaran Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), enam memorandum persefahaman (MoU) dan satu Surat Niat (LOI) mengenai pendidikan, wanita dan kebajikan sosial, perubahan iklim, penangkapan dan penyimpanan karbon, pembangunan bandar, serta usaha memerangi jenayah rentas sempadan.

Malaysia dan Singapura, rakan dagang utama dalam ASEAN, mencatat perdagangan dua hala bernilai AS$78.59 bilion pada tahun lepas, meningkat 6.7 peratus daripada 2023.

Lawatan itu juga menandakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara dan ia merupakan kali pertama Lawrence menghadiri pemukiman sejak menjawat jawatan itu pada 15 Mei tahun lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini