Tumpuan :
Nasional

Perdana Menteri lawat UAE, perkukuh hubungan dua hala

Oleh: Mohd Redzuan Abdul Manap

ABU DHABI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual tiba di Abu Dhabi malam ini sempena lawatan rasmi tiga hari ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Duta Besar Malaysia ke UAE, Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin berkata, lawatan ini bertujuan memperkukuhkan hubungan strategik kedua-dua negara.

Selain itu, ia juga bertujuan mempromosikan agenda pembangunan lestari dan keterangkuman menjelang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 bertemakan “Inclusivity and Sustainability.”

Lawatan ini atas jemputan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum yang juga Pemerintah Dubai serta menghadiri Abu Dhabi Sustainability Week (ADSW).

Anwar juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden UAE merangkap Pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

“Perbincangan difokuskan kepada usaha memperkukuhkan kerjasama dalam sektor tenaga boleh baharu, keterjaminan makanan dan tenaga, teknologi kecerdasan buatan, serta pembangunan pusat data,” kata Tengku Sirajuzzaman.

Salah satu kemuncak lawatan ini adalah pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (CEPA).

Perjanjian tersebut dijangka membuka peluang baharu dalam sektor perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara, serta merangsang pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.

Perdana Menteri juga akan bertemu dengan tokoh korporat dan ahli perniagaan UAE bagi menarik pelaburan langsung asing serta memperkukuhkan hubungan perdagangan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini