Tumpuan :
Nasional

Perdana Menteri hadir rumah terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sempat meluangkan masa bersama pengunjung di luar perkarangan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, Sabah.

Oleh Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran kerajaan negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.

Ketibaan Datuk Seri Anwar pada pukul 11.15 pagi itu disambut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datuk Seri Juliah Salag bersama barisan kabinet negeri, Ahli Parlimen Sabah, serta ribuan rakyat Sabah yang hadir pada majlis berkenaan.

Setibanya Perdana Menteri, beliau bersama Ketua Menteri Sabah sempat meluangkan masa kira-kira 10 minit bersama pengunjung di luar perkarangan SICC.

Rumah terbuka dihoskan kerajaan negeri itu adalah negeri pertama dihadiri Datuk Seri Anwar sebagai tetamu atas undangan rasmi kerajaan negeri Sabah.

Majlis rumah terbuka berkenaan turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R M Jasni.

Selain menikmati juadah dan makanan tradisi tempatan, para tetamu dan orang ramai turut dihiburkan dengan persembahan tarian dan nyanyian daripada artis tempatan pada majlis itu.

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah yang turut mengundang orang ramai itu mula dikunjungi seawal jam 9 pagi meskipun undangan bermula pada pukul 10 pagi hingga 2 petang.

Kali terakhir rumah terbuka Aidilfitri negeri itu dibuka kepada awam adalah pada 2019 dan tiada penganjuran pada tahun berikutnya susulan pandemik COVID-19.

Acara rumah terbuka Aidilfitri yang merupakan acara tahunan di Kediaman Rasmi Perdana Menteri, Kompleks Seri Perdana, Putrajaya tidak diadakan tahun ini.

Datuk Seri Anwar sebelum ini berkata ia membolehkannya menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri yang dihoskan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri bagi memberi peluang untuknya mendekati dan menyantuni lebih ramai rakyat di negara ini.

Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri 2023 melibatkan Kerajaan Persekutuan bermula di Kedah semalam manakala dua lagi negeri menyusul iaitu Kelantan dan Terengganu masing-masing pada 12 dan 13 Mei depan.

Manakala rumah terbuka bersama Perdana Menteri di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor yang dihoskan kerajaan negeri masing-masing dijadual pada 6, 7, dan 14 Mei depan.

Loading...
Terkini