Oleh: Safwan Sawi
KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri Sabah di sini, pada malam Rabu.
Perdana Menteri tiba di majlis berkenaan kira-kira jam 7.20 malam dan disambut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama barisan kabinet negeri Sabah.
Turut hadir pada Majlis Makan Malam itu Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Datuk Seri Fadhillah Yusof dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Perdana Menteri tiba di Kota Kinabalu hari ini bagi mengadakan lawatan dua hari ke Sabah dan dijadual berlepas ke Lahad Datu esok.
Anwar dijadual melawat Felda Sahabat di daerah berkenaan pada sebelah pagi esok untuk menghadiri Karnival Segalanya Felda.
Hajiji turut dijadual hadir pada karnival berkenaan.
Pada majlis itu, Anwar akan disambut dengan persembahan kebudayaan tarian sambut tamu negeri Sabah dan tayangan video bertajuk ‘Mimpi Seorang Ayah’ yang memaparkan kisah peneroka Felda.
Pada sebelah petang, Perdana Menteri dijadual menghadiri mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, yang juga akan dihadiri Hajiji.
Anwar dijadual berlepas pulang pada petang esok.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.