KUALA LUMPUR: Proses percubaan sistem pembayaran tol tanpa palang akan dimulakan tahun depan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata ketika ini, sistem itu masih di peringkat kajian.
“Sekarang dalam proses kajian (pembayaran tol tanpa palang), kita akan cuba pada 2024 penggunaan sistem tersebut secara pada kadar yang lebih sesuai,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Alor Star, Afnan Hamimi Taib Azamudden di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut beliau, ia melibatkan teknologi pengecaman nombor kenderaan automatik (ANPR) dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) melalui sistem Multi Lane Fast Flow (MLFF).
Sistem itu bagi menambah baik mutu pengurusan lebuh raya, terutama dari segi sistem kutipan tol supaya pengguna tidak perlu bersesak semasa membuat pembayaran.
Setakat ini, terdapat 416 lorong RFID di seluruh lebuhraya seluruh negara.