
Oleh Nurul Amalina Zainudin
KUALA LUMPUR: Penggunaan kod QR akan diperkenalkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mempercepat proses pemeriksaan di kaunter imigresen.
Inisiatif itu sedang dipertimbangkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi melancarkan pemeriksaan imigresen ke atas pengembara.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, inisiatif yang sedang dipertimbangkan KDN itu dijangka bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan dalam pengurusan imigresen, tetapi juga akan mengurangkan risiko rasuah, penyalahgunaan kuasa di kaunter imigresen.
“Antara kelebihan penggunaan kod QR adalah memendekkan tempoh ‘clearance’ kepada 5 saat sahaja berbanding kaedah konvensional ‘auto-gate’ yang mengambil masa 15 hingga 30 saat
“Pengembara hanya perlu imbas kod QR yang mengandungi maklumat peribadi serta butiran perjalanan mereka.
“Penggunaan teknologi ini dijangka akan membantu meningkatkan keselamatan, mengurangkan kesesakan di pintu-pintu masuk negara terutamanya pada waktu puncak,” katanya di Sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Ujarnya lagi, penggunaan kod QR juga akan diperluas di pintu-pintu masuk utama negara yang bersesuaian termasuk lapangan terbang antarabangsa yang lain, selain di pusat pemeriksaan di sempadan darat dan laut.
Selain itu, KDN sedang dalam perancangan membangunkan projek membina 33 lorong pemeriksaan motosikal tambahan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan 44 lorong di Bangunan Sultan Iskandar (BSI).
“Pengembara yang menggunakan motosikal di Johor tidak perlu menanggalkan topi keledar bagi pemeriksaan imigresen, selain kawalan T-zon dengan mukanya dapat dikesan dalam sistem yang lebih baik ini.
Beiau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jelutong, R. Sanisvara Nethaji Ryer yang meminta KDN menyatakan langkah-langkah untuk menambah baik perkhidmatan dan bilangan mesin pengimbas pasport automatik di semua pintu tanah air untuk memudahkan urusan kemasukan pelancong asing.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.