PETALING JAYA: ”Berapa banyak yang anda fikir saya patut saman mereka?”
Itu kata bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang kesal dengan perbuatan sebuah syarikat minuman herba kerana menggunakan nama dan imejnya bagi mempromosi produk mereka.
Menerusi ciapan di laman X baru-baru ini, beliau berkata, tindakan serta taktik pemasaran yang dilakukan jenama jeli dan teh herba traditional itu adalah salah dan tidak bertanggungjawab kerana bertujuan mengelirukan orang ramai.
“Ini adalah satu lagi pemasaran yang tidak bertanggungjawab, menggunakan nama saya dan gambar oleh syarikat berkenaan bertujuan untuk menipu orang ramai. Sungguh perbuatan yang memalukan,” katanya.
This is another irresponsible marketing using my name and photos by Koong Woh Tong, intended to cheat the public. What a shameful act. It leaves me no choice but to take Koong Woh Tong to court. How much do you think I should sue them? May this be a lesson to other companies? At… pic.twitter.com/YMdwIROWTY
— Noor Hisham Abdullah (@DGHisham) November 18, 2023
Beliau turut berkongsi gambar menggunakan imejnya pada produk terbabit.
Sebelum ini, Dr Noor Hisham ketika menerajui KKM memaklumkan, ketika pandemik COVID-19, pakar dari China mencadangkan rawatan tambahan untuk membuat akupuntur serta ubat ubatan herba bagi mencegah jangkitan serta mempercepatkan pemulihan selepas dijangkiti virus berkenaan.
Berikutan itu, pemilik produk terbabit menggunakan keratan akhbar berkaitan isu berkenaan dan mengaitkannya dengan jenama mereka.
“Ia mengelirukan untuk dikaitkan dengan produk berkenaan.
“Ia menyebabkan saya tiada pilihan selain membawa syarikat berkenaan ke mahkamah. Berapa banyak yang anda fikir saya patut menyaman mereka (untuk)?
“Semoga ini menjadi pengajaran kepada syarikat lain? Sekurang-kurangnya jika saya menang, saya boleh berkongsi kemenangan dengan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.