comscore
Tumpuan :
Nasional

Perbicaraan tertutup wajar dilakukan demi elak aib

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

PETALING JAYA: Keputusan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs) untuk melakukan perbicaraan secara tertutup bagi kes melibatkan penceraian disokong semua tiga responden berpengaruh yang dihubungi buletintv3.my.

Responden pertama Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menjelaskan agama Islam sangat menegaskan kewajiban menutup aib peribadi yang tiada kepentingan untuk diketahui dan diulas oleh pihak lain.

“Masyarakat sering membuat penilaian sendiri tentang hubungan rumah tangga orang lain tanpa memahami situasi yang sebenarnya padahal tiada kepentingan untuk mereka tahu apatah lagi memberikan komen. Kita tidak mahu Mahkamah Syariah yang bertujuan menegakkan syariah menjadi punca pelanggaran syariah dan dosa dalam masyarakat,” katanya.

Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan

Sementara itu, Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan (MPSWP) turut menyokong langkah Mahkamah Syariah di Perlis untuk melaksanakan perbicaraan perceraian secara tertutup. Presidennya, Datuk  Zainul Rijal Abu Bakar berkata langkah itu sewajarnya dicontohi dan dilaksanakan di negeri-negeri lain dan perlu diperluaskan tidak semata-mata kepada kes penceraian sahaja. Ia demi menjaga maruah dan juga aib ahli keluarga kedua-dua belah pihak.

“Tak perlu ada senarai nama kes yang terang terang meletakkan nama penuh pasangan ataupun disebut di dalam penghakiman malah perlu juga dielakkan daripada penerbitan. Bukan sahaja dalam kes perceraian tetapi juga dalam kes yg melibatkan kanak kanak seperti hak jagaan, lawatan injunksi juga perlu dibicarakan secara tertutup bagi menjaga kebajikan kanak kanak,” katanya.

Menurut Datuk Zainul lagi, berdasarkan Seksyen 3 Akta Prosiding Kehakiman (Pengawalseliaan Laporan) 1962 juga menyatakan adalah tidak sah di sisi undang-undang bagi tuan punya, pengarang atau penerbit sesuatu akhbar atau majalah berkala untuk mencetak atau menerbitkan atau menyebabkan atau mendapatkan supaya dicetak atau diterbitkan.

“Tujuan perbicaraan dibuat secara tertutup bagi mengelakkan aib keluarga dibincangkan secara terbuka apatah lagi sekiranya media juga menerbitkan perkara-perkara yang agak sensasi, ” tambahnya.

Prof. Dato’ Noor Aziah Hj. Mohd. Awal

Nada yang sama turut disuarakan oleh Pakar Perundangan Keluarga dan Sivil Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Professor Datuk Noor Aziah Mohd Awal, dimana beliau berpendapat isu rumah tangga dan penceraian amat sensitif untuk dipertontonkan. Lantas tiada keperluan ianya diperbesarkan atau ditularkan melalui penggunaan media sosial dan media massa.

“Ini isu yang sangat penting kerana hal ehwal rumah tangga tidak perlu masuk surat khabar atau lain-lain kerana ia hal peribadi antara suami dan isteri. Lebih baik jika ia dilakukan secara tertutup kerana melibatkan ahli keluarga dan jika pasangan itu mempunyai anak, dikhuatiri akan mengguriskan perasaan si anak serta keluarga kedua-dua belah pihak,” ujar beliau lagi.

Terdahulu, Istana Arau dalam kenyataan berkata keputusan itu dibuat melalui arahan Ketua Hakim Syarie Perlis, Jaidi Ahmad setelah dipersembah maklum dan diperkenankan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan agar perbicaraan secara tertutup dilaksanakan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs) bermula 1 Julai 2023.

Menurut kenyataan itu keputusan berkenaan dibuat bagi menjaga aib pihak-pihak yang terlibat terutamanya membabitkan kes yang mendedahkan keaiban peribadi selain bagi mengelakkan unsur ghibah dan boleh membawa kepada fitnah.

Di mahkamah sivil, perbicaraan secara tertutup bagi kes-kes tertentu sudah lama diamalkan.

Loading...
Terkini