Tumpuan :
Nasional

Perbanyakan penyelidikan untuk naikkan nama UniMAP – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail beramah mesra dengan salah seorang penerima Anugerah Seri Gemilang 2022 UniMAP, Prof Dr Mohd Yusoff Mashor yang juga Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UniMAP.

Oleh Amira Suraini Che Mohamad

ARAU: Warga universiti diingatkan agar tidak merasa selesa dengan pencapaian sedia ada dengan memperbanyak penghasilan jurnal berimpak tinggi.

Langkah tersebut demi memastikan kelangsungan pendidikan masa hadapan dapat ditingkatkan.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan merasmikan Majlis Anugerah Seri Gemilang 2022 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), semalam.

Baginda juga ingin melihat UniMAP memperbanyak kajian atau penyelidikan kerana dapat membantu menaikkan nama universiti.

“Malah, pengurusan UniMAP harus meningkatkan keupayaan dan kepercayaan dengan menggandakan usaha kebajikan dan menambahbaik fasiliti agar kebajikan pelajar terjaga.”

“Organisasi perlu memanfaat dan menonjolkan bakat staf kerana ia merupakan penentu utama kejayaan sesebuah organisasi dan bertindak sebagai strategi untuk meningkatkan produktiviti kerja.”

“Bakat merupakan elemen penting dalam meningkatkan kebolehan seseorang, sekali gus memberi impak kepada organisasi,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Canselor UniMAP bertitah, UniMAP perlu meningkatkan keterlihatan menerusi media sosial dan media massa kerana ianya mampu mempengaruhi masyarakat yang secara tidak langsung meningkatkan lagi kemasukan pelajar.

Berangkat hadir sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Raja Dato’ Azwane Raja Ariff; dan Naib Canselor UniMAP, Prof. Dato’ Ts. Dr. Zaliman Sauli.

Loading...
Terkini