KUALA LUMPUR: Industri perbankan Islam kekal berdaya tahan dan dinamik disokong oleh inovasi berterusan produk patuh Shariah.
Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2023 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini berkata Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) yang diperkenalkan pada 25 Mac 2022 yang merupakan kadar penanda aras patuh Shariah sepenuhnya dijangka dapat menggalakkan pembangunan produk kewangan patuh Shariah yang lebih inovatif.
“Pelaksanaan MYOR-i akan meningkatkan ketelusan dengan membolehkan peserta pasaran berunding dan menyeragamkan kontrak kewangan seterusnya mencapai harga yang efisien merentasi semua instrumen kewangan.
“Di samping itu, MYOR-i akan membantu memperdalam pasaran kewangan Islam tempatan dan mempertingkat peranan pembiayaan patuh Shariah dalam aktiviti ekonomi domestik,” kata laporan itu.
Menurut MoF, pada akhir Julai 2022 jumlah aset perbankan Islam meningkat sebanyak 5.7 peratus kepada RM1,196.7 bilion yang merangkumi 35.7 peratus daripada keseluruhan aset perbankan.
Sementara itu, jumlah pembiayaan Islam berkembang sebanyak 12 peratus kepada RM774.1 bilion, pertumbuhan tersebut kebanyakannya disokong oleh peningkatan pembiayaan sektor isi rumah sebanyak 11.8 peratus kepada RM491.3 bilion pada akhir Julai 2022 dan menyumbang 63.5 peratus kepada jumlah pembiayaan Islam, katanya.
Pembiayaan itu kebanyakannya adalah bagi pembelian harta tanah kediaman (51.9 peratus) dan pembelian kenderaan pengangkutan khususnya kereta penumpang (19.8 peratus).
Selain itu, MoF menyatakan dasar monetari dijangka kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan dalam persekitaran tekanan inflasi yang sederhana.
Pendirian dasar monetari akan terus berpandukan penilaian Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia terhadap persekitaran yang berubah dan implikasinya kepada prospek keseluruhan ke atas inflasi dan pertumbuhan ekonomi domestik, kata laporan.
Melangkah kehadapan, laporan berkata, institusi kewangan dijangka kekal teguh disokong oleh pengurusan berhemat, mudah tunai mencukupi dan penampan modal yang kukuh disamping pasaran modal yang dijangka kekal berdaya tahan, dipacu oleh asas makro ekonomi yang teguh, kecairan domestik yang mencukupi dan infrastruktur pasaran modal yang komprehensif.
“Prestasi pasaran kewangan keseluruhan yang lebih baik pada 2022 antaranya akan disokong oleh peralihan kepada fasa endemik, pembukaan semula sempadan antarabangsa, momentum pertumbuhan domestik yang kukuh dan projek strategik yang sedang dilaksanakan,” kata laporan tersebut.
Bagaimanapun, ia berkata perkembangan pasaran kewangan turut berhadapan dengan cabaran prospek pertumbuhan global yang menyederhana, langkah mengetatkan dasar monetari yang agresif oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, peningkatan kemeruapan (volatility) dalam keadaan kewangan global, konflik berpanjangan di Ukraine dan langkah tegas oleh China bagi membendung penularan COVID-19.
Dalam menghadapi cabaran ini, MoF berkata pelaksanaan Pelan Induk Pasaran Modal Ketiga (2021 – 2025) dan Pelan Sektor Kewangan (2022 – 2026) akan menggalakkan kepelbagaian dan meningkatkan suasana dinamik dalam pasaran kewangan seiring dengan landskap ekonomi dan kewangan yang berkembang, seterusnya memastikan pasaran kekal berdaya tahan.
Justeru, daya tahan pasaran modal Malaysia akan meningkat di samping memastikan kestabilan dan integriti kewangan terus terpelihara, katanya.-BERNAMA