Tumpuan :
Nasional

Perbaiki prestasi, pastikan negara berada di landasan kecemerlangan – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan dan amanat tahun baharu dalam Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Januari tahun 2025.

Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Penjawat awam diminta untuk terus fokus dalam memberikan penambahbaikan perkhidmatan masing-masing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu bermula dengan prestasi di setiap unit masing-masing bagi memastikan negara berada di landasan yang betul bagi mencapai kecemerlangan.

“Saudara, kesempatan ini kita cuba perbaiki dan tingkatkan dan kalau benar mahu berjaya, dia mesti bermula dari pimpinan di atas dengan tatakelola yang baik, dengan menghilangkan sikap gelojoh, tamak haloba, hasad dengki, cemburu.

“Dan cari apa sahaja jalan untuk tumpu dan perbaiki prestasi kita.

“Semua yang hadir ini, apatah lagi barisan hadapan, orang menggalas amanah besar dan percayalah, kita belum lagi sempurna, banyak kelemahan masih ada.” Ujarnya.

Menurut Anwar, selama dua tahun kepimpinannya tidak ada skandal besar yang berlaku, namun masih ada ketirisan yang dikesan.

“Masih ada ketirisan dan kebocoran, masih ada yang lembab dan malas masih ada bekerja tak ikut masa, gaji penuh tapi kerja tak penuh.

“Saudara nilai sendiri. Perbaikilah. Akhirnya yang selain Allah, rakyat juga yang akan menentukan.

“Kita kata tahap kecekapan kita meningkat, tapi tahap menunggu dia tidak berubah. Dia tidak akan memberi kebaikan. Saya mahu tatakelola baik tetapi harus cekap.” Katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan dan amanat tahun baharu dalam Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Januari tahun 2025.

Ia turut dilakukan secara langsung serentak di seluruh kementerian.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini