Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
BATU CAVES: Ribuan penganut Hindu dan pelancong dari pelbagai negara membanjiri kawasan Batu Caves hari ini sempena perayaan Thaipusam, dengan ramai pelancong asing terpegun melihat keunikan budaya dan tradisi yang dipamerkan dalam sambutan itu.
Seorang pelancong dari Argentina, Santiago Villada, 30, berkata beliau secara tidak sengaja menemui perayaan tersebut ketika bercuti di Malaysia dan terkejut dengan kehebatan upacara yang berlangsung.
“Sebenarnya, kami hanya berada di sini selama dua hari sebelum bertolak ke Thailand esok, kami datang ke Batu Caves dan secara tidak sengaja menemui perayaan ini.
“Ia sungguh menakjubkan, minda kami benar-benar terpesona, saya tidak dapat mencari kata-kata yang sesuai untuk menggambarkannya.
“Saya pasti akan kembali lagi untuk festival seperti ini,” katanya.
Pelancong dari Poland, Kasia Pieluszka, 36, pula berkata beliau diberitahu oleh rakannya mengenai Thaipusam dan ingin melihat sendiri kemeriahan perayaan itu.
“Saya baru tiba di Kuala Lumpur dua hari lalu dan rakan-rakan saya memberitahu bahawa ada perayaan yang sedang berlangsung, jadi sudah tentu saya mahu melihatnya.
“Saya masih dalam proses meneroka dan ingin memahami budaya di sebalik perayaan ini,” katanya.
Sementara itu, Bas Sommers, 29, dari Belanda, berkata beliau mengetahui tentang Thaipusam ketika berada di Thailand dan memutuskan untuk datang ke Malaysia bagi melihatnya sendiri.
“Kami mendengar tentang Thaipusam semasa di Thailand, dan saya berkata kepada teman wanita saya bahawa kami perlu datang ke sini.
“Ia sungguh menakjubkan, jika anda melihat sekeliling, ia sangat luar biasa, saya tidak pernah melihat sesuatu seperti ini sebelum ini, ia sangat unik. Kami tidak mempunyai perayaan sebegini di Eropah. Ia benar-benar membuatkan saya teruja sepanjang masa,” katanya.
Tambah Bas, dia mungkin akan mempertimbang untuk menetap di Malaysia kerana tertarik dengan kepelbagaian kaum dan agama yang saling meraikan hari perayaan agama lain.
Thaipusam merupakan perayaan penting bagi penganut Hindu yang disambut dengan pelbagai bentuk pengorbanan dan keagamaan sebagai tanda penghormatan kepada Dewa Murugan.
Setiap tahun, Batu Caves menjadi lokasi utama sambutan Thaipusam, menarik kehadiran penganut dan pelancong dari seluruh dunia.
Tahun ini, dianggarkan seramai 1.8 juta pengunjung membanjiri kawasan tersebut, menjadikannya antara perhimpunan terbesar bagi perayaan berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.