PUTRAJAYA: Statistik calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah mencecah 97 peratus setakat pagi ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, angka itu dijangka meningkat sementara menantikan peratusan penuh yang akan dikemaskini.
“Kehadiran baik ini, ia masih dalam proses kemas kini ada yang belum belum sahkan kehadiran, kita harap kehadiran ini dapat ditingkatkan untuk pastikan anak-anak mengambil SPM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media khas SPM 2024 hari ini.
Dalam pada itu, KPM juga katanya telah meneruskan inisiatif tahun lalu iaitu melantik golongan sukarelawan dalam mengawasi proses sepanjang peperiksaan.
Bagaimanapun, Fadhlina menjelaskan lantikan mereka adalah tertakluk kepada syarat-syarat khusus yang telah ditetapkan KPM bagi mengelakkan sebarang isu ketirisan termasuk usaha mengurangkan beban guru.
“Kita ambil perhatian penuh persiapan lantikan mereka (pengawas sukarelawan) adalah kaedah sangat ketat. Setakat ini tiada masalah.
“Setakat ini mencapai hasrat kita iaitu 20 peratus (pengawas sukarelawan) di setiap negeri yang bertugas untuk SPM 2024.
Ujarnya lagi, inisiatif itu sebagai usaha mengurangkan beban guru.
Bercakap mengenai kemungkinan calon yang berdepan situasi banjir, KPM katanya bersedia untuk melancarkan semula Op Payung.
“Apa pun yang berlaku, KPM telah siap siaga dan jika berlaku banjir kita akan aktifkan semula Op Payung,” katanya lagi.
Setakat ini, Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang, Johor dan Sabah antara negeri berisiko banjir namun keadaan ketika ini masih terkawal.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.