KUCHING: Sungai Sarawak kembali dimeriahkan dengan limpahan cahaya neon berwarna-warni malam tadi, setelah sedekad acara perarakan kapal berhias tidak diadakan sempena sambutan 60 tahun Sarawak merdeka.
Sebanyak 20 kapal berhias dari pelbagai kementerian, agensi dan syarikat swasta menyertai perarakan yang berlangsung di sekitar Sungai Sarawak antaranya Tebingan Kuching, Pengkalan Sapi, jeti dan tebingan Kampung Boyan.
Seorang pengunjung Junaidah Mohd Nor, 54, dari Selangor, tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan perarakan kapal berhias yang kali pertama disaksikannya setelah enam tahun menetap di Sarawak.
“Saya tinggal dan bekerja di Sarawak sudah enam tahun, jadi saya tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat acara yang 10 tahun tidak diadakan ini,” katanya yang datang bersama suami dan anak-anak.
Sambutan bertemakan ’Sarawak Maju Makmur 2030’ itu menarik kira-kira 10,000 pengunjung yang membanjiri kawasan sepanjang Tebingan Kuching bagi merakam detik indah acara kapal berhias dengan berlatarbelakangkan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Pengunjung dari Pontianak, Indonesia, Benozi Tamrin, 25, tidak menyangka percutian empat hari bersama 13 ahli keluarga ke bandar raya ini lebih bermakna apabila berkesempatan menonton perarakan gemilang itu.
“Kami sekeluarga dimaklumkan pihak imigresen bahawa ada acara besar di Kuching pada malam sewaktu hendak ke sini petang tadi jadi memang terujalah kerana suasananya berbeza dengan di Pontianak,” katanya.
Acara berkenaan bermula 8.15 malam dengan ketibaan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan isteri Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang.
Mendahului perarakan di Sungai Sarawak itu, lapan penunggang jet ski dan bot Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), diikuti 25 perahu tambang iaitu pengangkutan air tradisional yang dikenali di sungai berkenaan dan 20 kapal berhias.
Antara kementerian dan syarikat yang mengambil bahagian untuk merebut gelaran juara kapal berhias termasuk Jabatan Premier Sarawak, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, Kementerian Pelancongan serta Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Kementerian Inftrastruktur.
Kapal berhias milik syarikat Samling Timber Malaysia dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000. — BERNAMA