Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Tiada keperluan untuk membawa pulang pasukan Batalion Malaysia 850-11 (MALBATT 850-11) di Lubnan bagi misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) setakat ini, susulan konflik Palestin-Israel yang semakin meruncing.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keadaan semasa masih terkawal, bagaimanapun pihaknya sentiasa meneliti perkembangan di Semenanjung Gaza dan kawasan sekitar terutama berlaku ketegangan serta pembunuhan terhadap rakyat di Lubnan berikutan konflik itu.
“(Keadaan di Lubnan) ini juga merisaukan kita. Tetapi kita telah pun membuat beberapa rancangan jika berlaku ini (perkara tidak diingini), langkah-langkah evakuasi yang perlu kita lakukan telah pun kita rancang.
“Tetapi keselamatan anggota tentera kita selaku anggota pengaman PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) di Lubnan masih lagi dalam keadaan baik.
“Kita sentiasa berkomunikasi setiap hari dan belum ada lagi keperluan untuk membawa balik anggota tentera pengaman PBB Malaysia dari Lubnan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Kemanusiaan untuk Palestin, di sini semalam.
Tambahnya, sebarang pengunduran membabitkan pasukan pengaman Malaysia itu akan dilakukan oleh PBB.
“Tetapi buat ketika ini belum ada keperluan kerana keadaan masih lagi terkawal.
“Tak ramai rakyat Malaysia yang bermastautin di Lubnan, yang ramai (adalah) anggota tentera yang bertugas sebagai anggota tentera pengaman UNIFIL atau MALBATT 850-11,” katanya.
Pada November tahun lalu, seramai 218 anggota dan pegawai pasukan MALBATT 850-11 berlepas ke Lubnan dan ditempatkan jauh dari sempadan konflik.
Mohamad yang ketika itu menjawat jawatan Menteri Pertahanan dilapor berkata, berbanding kontinjen dari negara lain yang ditugaskan lebih hampir dengan kawasan konflik, pasukan pengaman Malaysia berada di lokasi lebih selamat iaitu sekitar 20 kilometer dari kawasan persempadanan antara Lubnan dan Israel.
Sebelum ini, media melaporkan, tentera Israel berkata rancangan untuk menyerang Lubnan sudah ‘diluluskan dan disahkan’ susulan pertempuran rentas sempadan dengan Hizbullah meningkat, ketika pertempuran di Gaza reda sedikit.
Perang di Gaza secara tidak langsung meningkatkan ketegangan di seluruh rantau ini, dengan tentera Israel dan Hizbullah yang disokong Iran di Lubnan serta sekutu Hamas, berbalas tembakan hampir setiap hari.
Sementara itu, Iran memberi amaran bahawa semua barisan penentang, kumpulan Iran dan sekutu serantaunya akan berhadapan dengan Israel jika ia menyerang Lubnan.
Terdahulu, agensi berita antarabangsa, Anadolu melaporkan beberapa negara menyeru rakyat mereka meninggalkan Lubnan di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat mengenai perang antara Israel dan kumpulan Hizbullah.
Antara negara mengambil langkah itu, Arab Saudi, Australia, Jerman, Kanada, Amerika Syarikat, Ireland, Jordan dan United Kingdom.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa