KUALA LUMPUR: Perancangan pembangunan bandar di Malaysia perlu seimbang, bukan sahaja membina bangunan mega yang canggih, tetapi turut mempertahankan nilai kesenian dan budaya sedia ada.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan biarpun kepesatan dunia digital membuatkan perancangan bandar menjadi semakin moden, ia bukan bermaksud mereka perlu meninggalkan nilai budaya yang ada.
“Ia menjadi satu sentuhan kepada kita supaya dalam merancang ini perlu yang terbaik, moden dan tercanggih dengan teknologi serta penemuan baharu, ya… tetapi kita juga tahu bahawa aspek keindahan, kesenian, budaya yang tersendiri dan unik itu mesti kita pertahankan.
“Saya beritahu Datuk Bandar (Kuala Lumpur), setiap kali kita membangunkan projek sekecil warung atau bangunan tinggi mega, jangan tinggalkan aspek (nilai dan budaya).
“Teknologi canggih, tentunya saudara sudah kuasai… tetapi perlu kita jadikan Malaysia ini dari segi perancangannya, sosok bandarnya, kotanya sebagai yang unik, tersendiri dan dikenali.
“Ini baru corak Malaysia ketimbang New York, London atau Jepun,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Perancangan 2024, di sini, malam ini.
Pada majlis itu, Anwar turut menyampaikan Anugerah Felo Kehormat Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) 2024 kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, perancangan pembangunan bandar juga tidak seharusnya membuat jurang semakin besar di antara kelompok kaya dengan rakyat biasa.
“Jangan ada bandar atau kota yang mengekalkan jurang di antara kelompok yang sangat berjaya dan kaya dengan masyarakat biasa.
“Jadi itu juga cabaran kita. Sebab itulah dalam perancangan ini, saya ingin menggesa untuk lebih perhatian diberikan.
“Kuala Lumpur tidak harus terkenal dengan mercu tanda yang indah, bangunan megah tetapi juga dengan gerai, warung, restoran rakyat yang tersusun indah dan bersih.
“Hari ini, menjadi satu cabaran, apa lagi dengan penemuan, penyusunan, pengurusan dan perancangan menggunakan kekuatan digital. Sekarang ini AI (kecerdasan buatan). AI digunakan dalam banyak peruntukan pembangunan dan juga perancangan yang mengambil kira persekitaran hijau, taman dan keselesaan bagi rakyat biasa,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memuji usaha dan perancangan rapi Abang Johari dalam menyusun perancangan membangunkan Sarawak, yang disifatkannya sebagai berjaya dengan didorong kestabilan politik di negeri berkenaan.
“Saya ingin menyatakan pemilihan Abang Johari tepat. Beliau memberikan contoh bagaimana kita boleh merancang (pembangunan) negeri itu dengan baik.
“Abang Johari ialah antara tokoh yang sudah membuktikan sekiranya politik negeri itu stabil, pimpinan dapat menumpukan perhatian ke arah pembangunan negeri, meneroka idea, dasar baharu dan tidak terikat dengan kepompong lama.
“Bicara soal tenaga, membuka ruang lautan untuk mendapatkan pulangan hasil. Bicara soal teknologi hijau. Ini boleh kita saksikan jika pimpinan mempunyai wawasan dan pemahaman serta dapat digerakkan oleh seluruh tenaga dengan kerjasama swasta dan universiti,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.