KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengakui peranan media amat penting dalam mencorak masa depan dan hala tuju negara.
Beliau berkata, tugas dan tanggungjawab pengamal media bukan saja sebagai penghubung atau perantara dalam menyampaikan maklumat dan informasi kepada masyarakat, sebaliknya turut berperanan dalam mencorak minda rakyat.
Bagaimanapun, katanya, kepesatan teknologi sedikit sebanyak mengubah landskap industri media tempatan, terutama dalam menyampaikan dan menyebarkan maklumat kepada umum.
“Perkembangan dan kepesatan platform seperti Facebook, TikTok, Youtube, Instagram dan sebagainya membolehkan masyarakat mendapatkan sumber berita mereka dengan sangat pantas.
“Hakikatnya, kepantasan penyebaran maklumat dan berita sebegini ini bukan satu kelebihan kepada kita.
“Jika kita tidak waspada terhadap penyebaran pelbagai maklumat yang dikongsi di media sosial, maka ia boleh menjerumuskan diri kita, bahkan negara ke satu lembah yang lebih rumit dan membimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Jubli Intan Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJM), di sini, malam ini.
Turut hadir, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Pengarang Urusan Kumpulan (GME) Media Prima, Jasbant Singh; bekas Pengarang Urusan Kumpulan New Straits Times Press Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman dan Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.
Dalam pada itu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, pengamal media perlu bertindak sebagai rakan komunikasi strategik kerajaan untuk membendung elemen negatif seperti berita palsu, kebencian antara kaum dan agama, hasutan, penipuan dalam talian, fitnah serta buli.
Katanya, elemen berkenaan memberi risiko yang besar terhadap keselamatan rakyat dan kesejahteraan negara.
“Disamping melaporkan kes-kes buli siber, penipuan dan sebagainya, peranan pengamal media juga sebagai perisai dalam menangkis berita-berita palsu yang terus memenuhi segenap media sosial.
“Selain itu, media arus perdana juga boleh memainkan peranan dan tanggungjawab untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ancaman dan bahayanya jika mereka terjebak dengan jenayah media sosial,” katanya.
Dalam majlis sama, Fadillah turut mengumumkan peruntukkan sebanyak RM150,000 bagi NUJM untuk membantu profesional kewartawanan terus berkembang maju.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.