LANGKAWI: Peranan Malaysia sebagai Pengerusi baharu ASEAN diyakini mampu memainkan peranan penting dalam menyelesaikan isu berlarutan berkaitan Myanmar.
Keyakinan tersebut disuarakan semasa pertemuan dua hala Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama Menteri Luar Thailand, Maris Sangiampongsa dan Menteri Luar Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Erywan Mohd Yusof.
Pertemuan tertutup itu berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) sempena Pemukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) yang bermula hari ini.
Dalam pertemuan bersama Maris, beliau menyatakan keyakinan dan sokongan penuh kepada Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dalam mengekalkan kestabilan serta keamanan di rantau ini.
Kedua-dua menteri bersetuju isu di Myanmar perlu diselesaikan dengan segera melalui pendekatan kesatuan dan berpusat dalam kalangan negara ASEAN lain.
Mereka juga berbincang mengenai keperluan kepada inisiatif bagi menggerakkan ASEAN ke arah yang lebih berorientasikan hasil terutama dalam bidang pelancongan melalui pendekatan ‘Enam Negara, Satu Destinasi’.
Selain itu, kedua-dua pihak turut bersetuju dalam usaha memperkukuh kerjasama dalam sektor inovasi, tenaga, pendidikan, keselamatan makanan, logistik, telekomunikasi, pelancongan, dan kesihatan.
Sementara itu, Erywan menegaskan persetujuan ‘Five-Point Consensus’ yang dimetrai pada 2021 perlu dijadikan sebagai rangka kerja bagi menyelesaikan isu di Myanmar.
Pada masa sama, kegiatan perdagangan dalam kalangan negara ASEAN perlu dipertingkat melalui pendekatan menggalakkan penglibatan sektor swasta yang lebih besar.
Malaysia-Brunei turut berbincang mengenai usaha pengukuhan kerjasama dua hala dalam perdagangan, pelaburan, hubungan rakyat dan pelancongan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.