Tumpuan :
Nasional

Peranan alumni bantu UiTM terus relevan dalam industri

Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman (Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi) dan Prof. Ts. Datuk Dr. Shahrin Sahib (Naib Canselor UiTM) menyaksikan “Pelancaran Buku Citra Bitara & Buku Alumni Dewan Latehan RIDA” sempena Hari Perhimpunan Alumni UiTM di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam.

Oleh: Nurul Atikah Mohd Azlan

SHAH ALAM: Peranan alumni sememangnya penting dalam memastikan institusi pendidikan tinggi terus relevan dan memberi sumbangan kepakaran kepada alma mater.

Sehubung dengan itu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) menganjurkan Perhimpunan Alumni sempena 25 tahun UiTM diisytihar sebagai sebuah institusi pendidikan.

Perhimpunan yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam itu telah mencatat sejarah dengan menghimpunkan alumni dari pelbagai era termasuk Dewan Latehan RIDA (DLR), Maktab MARA serta institusi Teknologi MARA (ITM).

Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman berkata, sinergi kukuh serta komitmen tinggi daripada alumni amat penting bagi memastikan sektor pendidikan tinggi terus mencapai kegemilangan.

Barisan Alumni yg hadir menjayakan sempena Hari Alumni yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam.

“Alumni bukan sekadar lepasan universiti ia merupakan duta ilmu, pemimpin perubahan, dan penggerak agenda kemajuan negara,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, FASc menekankan peranan penting alumni dalam memastikan UiTM terus relevan dan berjaya dalam memberikan sumbangan kepakaran serta keprihatinan alumi dalam memberi impak kepada alma mater.

“Sumbangan kewangan, kepakaran, serta keprihatinan alumni UiTM pasti memberi impak mendalam kepada alma mater. Dengan semangat kebersamaan ini, kita akan memastikan masa depan generasi seterusnya terus terbela,” katanya.

Pelbagai program dirangka sempena Hari Alumni 2024 antaranya forum bertajuk “Alumni Penggerak Transformasi Negara” yang menampilkan empat panelis alumni UiTM iaitu Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin – Naib Canselor UiTM, Datuk Mohd Syafiq Hj. Abdullah – Pengasas & Pengarah Urusan Kumpulan VFive, TPr. Ts. Norliza Hashim – Ketua Pegawai Eksekutif Urbanice Malaysia dan Datuk Hisham Hamdan – Ketua Pegawai Pelaburan Khazanah Nasional Berhad.

UiTM juga meluncurkan dua buah buku khas terbitan Jabatan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN UiTM) iaitu “Wajah Alumni Citra Bitara UiTM” dan “Cherita Alumni Dewan Latehan RIDA (DLR): Sharing Legacies” sempena sambutan sebagai sebuah universiti.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini