comscore
Tumpuan :
Nasional

Perak tubuh jawatankuasa khas pulih akidah pengikut GISBH

FOTO: NSTP

GOPENG: Kerajaan Perak akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi pemulihan akidah pengikut GISB Holdings (GISBH) dan selepas perincian diperoleh, perkara itu akan dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Susulan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) akan bersidang dalam masa terdekat untuk membincang dan memperhalusi cadangan berkenaan.

Beliau berkata, Sultan Perak juga adalah Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan pihaknya dimaklumkan isu membabitkan GISBH turut dibincangkan dalam MKI.

“Memang kita akan tubuhkan jawatankuasa khas bagi pemulihan akidah pengikut GISBH, sama seperti dilakukan Johor.

“Selepas perincian berhubung penubuhan jawatankuasa khas ini diperoleh, kita akan persembahkan kepada Sultan Perak, kebetulan baginda juga adalah Pengerusi MKI,” katanya selepas meninjau operasi makmal analisis mineral Terra Mineral Lab di Persiaran Teknologi, dekat sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan Kerajaan Johor menubuhkan Jawatankuasa Khas Pemurniaan Pengikut GISBH yang ditubuhkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menerusi mesyuaratnya yang ke-275.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dipetik berkata, jawatankuasa itu bertujuan menyelaras pendidikan persekolahan, penempatan dan bantuan yang boleh disalurkan kepada anak pengikut GISBH.

Sementara itu, Saarani berkata, beliau akan menghadap Sultan Nazrin Isnin depan bagi mempersembahkan laporan berhubung kegiatan GISBH yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata, sehingga 26 September lalu, seramai 55 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah berjaya diselamatkan susulan serbuan Op Global membabitkan rumah amal kendalian GISBH di Perak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini