Tumpuan :
Nasional

Perak setuju wartakan lokasi karang purba di Kampar sebagai geotapak

IPOH: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak bersetuju dengan cadangan pewartaan lokasi penemuan fosil karang purba di Kampung Changkat Tualang, Kampar, sebagai satu daripada kawasan geotapak dalam Geopark Lembah Kinta.

Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, Nizarulikram Abdul Rahim, berkata persetujuan itu dicapai pada Jun lalu bahawa kawasan terletaknya kedua-dua geotapak, iaitu Lombong Batu dan Lombong Bakap di Kampung Changkat Tualang, akan diwartakan.

“Bagaimanapun, proses pewartaan ini akan mengambil sedikit masa sebelum ia secara rasmi diwartakan sebagai kawasan rizab untuk tujuan aktiviti pelancongan berasaskan geologi dan aktiviti berkaitan,” katanya kepada Bernama.

Pada 22 Januari lalu, media melaporkan penyelidik Persatuan Jurupandu Pelancong Geopark Warisan Alam Semula Jadi Perak (GEONAT) menemui fosil karang purba pelbagai spesies dianggarkan berusia 300 juta tahun di kawasan berkenaan.

Susulan itu, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd Azlan Helmi, dipetik berkata Kerajaan Perak akan mewartakan kawasan itu sebagai satu lagi geotapak di negeri ini.

Nizarulikram berkata, kawasan itu mempunyai nilai saintifik, estetik, sejarah dan budaya yang boleh dijadikan tarikan pelancongan berasaskan geologi (geopelancongan).

Beliau berkata, pihaknya akan melaksanakan aktiviti pemetaan geotapak itu dengan kerjasama Perbadanan Taman Negeri Perak pada 2025.

“Kedua-dua geotapak itu sedang dalam proses pewartaan membabitkan beberapa aktiviti, antaranya pengukuran sempadan, cadangan aktiviti dibenarkan dan pelantikan pentadbir bagi tapak berkenaan.

“Jumlah keluasan kedua-dua geotapak itu ialah 27.92 hektar, dan antara fosil purba yang ditemui adalah daripada jenis asalan marin, iaitu Gastropoda (Siput), Rugosa (Karang) dan Crinoid yang berusia sekitar 300 juta tahun,” katanya.

Nizarulikram berkata, pewartaan itu penting serta perlu dilaksanakan bagi mengelakkan kawasan itu diceroboh, dan apabila diwartakan kelak, ia mempunyai perkara tertentu yang mesti dipatuhi oleh masyarakat.

“Pewartaan bersamanya ada tertulis menyatakan apa tujuan pewartaan itu dibuat, contohnya untuk kawasan pelancongan atau aktiviti berkaitan dengan ekologi dan geologi.

“Kemudian, orang kampung boleh mengambil faedah daripada pewartaan itu dengan mengadakan pakej pelancongan tertentu di kawasan tersebut.

“Antara aktiviti ekologi yang boleh dilakukan ialah berkayak di tasik, memancing, ada singkapan pinakel batu-batu kapur dan di situlah terdapatnya fosil-fosil marin seperti siput dan karang purba. Jadi mereka boleh bawa pelancong-pelancong yang berminat ke tempat itu untuk melihat fosil dan berkayak di tasik,” katanya.

Selain itu sekiranya kawasan itu diwartakan sebagai geotapak, beliau berkata, ia akan menambah tarikan baharu kepada Geopark Lembah Kinta yang sedia ada, kerana sebelum ini tiada lagi mana-mana kawasan geotapak berasaskan fosil marin sedemikian. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini