comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

Perahu kayu tradisonal Terengganu semakin pupus

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

KUALA TERENGGANU: “Kolek berkolek ke dada laut, deru kucah ombak berombak”

Itu antara bait-bait lagu Kolek Berkolek yang ditulis oleh komposer lagu rakyat di Terengganu, Ramli Ibrahim, yang menceritakan peritnya nelayan mencari rezeki bersama perahu yang dibawa ke laut.

Dahulu, sebelum adanya teknologi dan penggunaan bot gentian kaca atau fiber, sekecil mana pun perahu kayu yang dibuat, itulah sumber rezeki nelayan untuk kelangsungan hidup.

Bagaimanapun dengan kemajuan teknologi yang pesat, warisan perahu yang unik ini berdepan kepupusan.

Perahu tradisional Melayu datang dalam pelbagai jenis yang masing-masing direka khas untuk fungsi tertentu selain reka bentuk yang unik

Antaranya, perahu kulit, perahu payang, perahu sekoci siam, sampan perahu besar, kajangan, jalural, kolek gelibat, kolek lincang, haluan katup, kolek kuel, besar kemajuan, dan beberapa lagi.

Satu daripada ciri utama dalam pembinaan perahu tradisional Melayu adalah ketiadaan pelan reka bentuk yang khusus.

Sebaliknya, perahu ini dihasilkan melalui gabungan pengetahuan tradisional, naluri dan kemahiran.

Kini, semua perahu-perahu itu menjadi koleksi dan dipamerkan kepada umum di Muzium Negeri Terengganu.

Terdapat 16 koleksi perahu yang masih utuh disimpan pihak muzium untuk tatapan umum dan menjadi bahan kajian penyelidik mengenai kehebatan seni pertukangan perahu kayu.

Paling mencuri pandang, Perahu Payang dan Payang  Barat yang mempunyai corak yang berwarna warni yang mempunyai nilai estetika pengaruh dari Siam.

Perahu Payang merupakan perahu tradisional terbesar yang pernah digunakan oleh nelayan tradisi laut dalam Terengganu suatu ketika dahulu.

Saiznya adalah 14 meter panjang dan boleh menampung sehingga 15 orang ‘Awak-Awak’ atau pekerja kapal nelayan.

Ia dinamakan Perahu Payang bersempena kaedah penangkapan ikannya yang menggunakan ‘Pukat Payang’.

Kaedah pembuatannya mencetuskan cabaran dalam pemeliharaan seni bina perahu tradisional ini khususnya kepada generasi akan datang.

Menurut Konservator Muzium Negeri Terengganu, Alisa Abdul Wahab, ketidakupayaan dan kefahaman yang terbatas generasi muda terhadap kaedah pembinaan perahu tradisional dan ketiadaan dokumen pelan reka bentuk adalah punca kepada kepupusan perahu tradisional ini.

Walaupun sudah ada usaha pemeliharaan sebelum ini, tetapi ia tidak menumpukan kepada perspektif kejuruteraan teknologi marin secara mendalam.

“Di Muzium Terengganu ada 16 koleksi perahu tradisional, suatu masa dulu digunakan dan hari ini perahu ini dijadikan pameran untuk tujuan dan kajian pelajar sebab sudah tidak digunakan lagi kerana nelayan sekarang sudah beralih kepada bot fiber.

“Perahu tradisional hari ini kita kekalkan untuk melihat senibina, bentuk dan saiz perahu yang digunakan suatu masa dahulu,” katanya ketika ditemui usai membuat kerja-kerja konservasi perahu tradisional di Muzium Negeri Terengganu.

Jelasnya, kerja-kerja konservasi perahu tradisional yang ada di Muzium Terengganu ketika ini bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

“Kita buat kerja-kerja konservasi perahu tradisional, sekarang ini kakitangan konservasi sedang membuang cat asal pada perahu.

“Setiap lapisan cat asal akan kita kikis dan buang dan selepas itu kita akan membersihkan habuk dan kotoran selepas itu kita buat proses menampal sebelum kita masuk cat baharu,” ujarnya.

Usaha konservasi mengekalkan warisan maritim ini adalah untuk memastikan pertukangan perahu dan kapal tradisional Melayu berkekalan,
walaupun berhadapan dengan kemajuan teknologi yang sentiasa berevolusi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini