KUALA LUMPUR: Seramai 20,676 calon mendaftar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 mula menduduki peperiksaan bertulis di 160 pusat peperiksaan Kuala Lumpur, hari ini.
Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Megat Affandi Ismail berkata, jumlah itu membabitkan 15,846 calon sekolah kerajaan, 238 calon sekolah agensi kerajaan, 2,626 calon sekolah swasta dan 1,966 calon persendirian.
Katanya, 110 lagi membabitkan calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK) dalam pelbagai kategori.
“Kita juga menguruskan calon menduduki peperiksaan di hospital di sekitar Kuala Lumpur yang mengalami masalah kesihatan.
“Pada pagi ini, seramai sembilan calon menduduki peperiksaan di hospital atas pelbagai masalah kesihatan,” katanya selepas mengadakan tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sentul Utama di sini, sempena peperiksaan bertulis SPM bermula hari ini hingga 6 Februari depan.
“Di Kuala Lumpur, tiada masalah banjir serius, namun masalah kesesakan lalu lintas menjadi cabaran utama bagi calon untuk tiba pada waktu ditetapkan.
“Sekiranya calon mengalami kelewatan boleh merujuk kepada pusat peperiksaan terdekat untuk mengambil peperiksaan dan dikira sebagai calon tumpang,” katanya.
Sementara itu, di PERAK, Pengarah Pendidikan negeri, Safuan Raba’ai berkata, seramai 31,705 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM di 323 pusat peperiksaan seluruh negeri itu.
Daripada jumlah itu, katanya, seramai 27,942 calon daripada sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.
“Selain itu, seramai 1,358 calon sekolah di bawah agensi kerajaan selain KPM iaitu Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Maktab Tentera Diraja (MTD) dan Sekolah Perantis Tentera, manakala calon sekolah menengah agama negeri adalah seramai 65 orang saja.
“Jumlah itu juga merangkumi 287 calon sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM, 1,562 calon persendirian dan baki 491 orang adalah calon sekolah menengah agama rakyat,” katanya.
Manakala di MELAKA pula, negeri itu mencatatkan seramai 13,311 calon menduduki peperiksaan SPM bertulis yang bermula hari ini sehingga 6 Februari depan.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, jumlah berkenaan membabitkan 11,171 calon Sekolah Aliran Kebangsaan, 634 dari Sekolah Berasrama Penuh , Sekolah Aliran Agama (26), Sekolah Swasta (238) dan 1,242 calon persendirian.
Katanya, 70 pelajar pula didaftarkan sebagai Calon Berkeperluan Khas (CBK) iaitu; lima Calon Kurang Penglihatan (Rabun) dengan keperluan khas kertas soalan besar serta tambahan masa; lapan Calon Kurang Pendengaran (pekak dan bisu) dengan keperluan khas guru bahasa isyarat dan tambahan masa; serta 57 calon bagi lain-lain jenis (kekurangan fizikal, autisme dan kecacatan pelbagai) dengan keperluan bilik khas serta tambahan masa.
“Jabatan Pendidikan Negeri Melaka mensasarkan Gred Purata Negeri bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2024 akan merekodkan pencapaian yang lebih baik iaitu, 4.52 mata dengan 96 peratus lulus berbanding pencapaian pada tahun 2023.
Menurutnya, beliau bersama kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia Negeri Melaka khasnya dan Malaysia amnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.