Tumpuan :
Nasional

Penyiasat forensik cerun lawat lokasi tanah runtuh di Puchong

Pemandangan udara kejadian tanah runtuh di Taman Wawasan, Puchong. FOTO: NSTP / Ihsan JKR

SERDANG: Siasatan masih diteruskan oleh beberapa agensi kerajaan  di kawasan tanah runtuh di Jalan Wawasan 3/9 Taman Wawasan, Puchong yang menjejaskan sembilan kediaman.

Pegawai Daerah Petaling Jaya, Rahilah Rahmat dalam satu kenyataan memberitahu pemeriksaan  sedang dilakukan Jabatan Mineral dan Geosains.

“Pemeriksaan di lokasi diteruskan hari ini oleh Jabatan Mineral dan Geosains bersama pegawai dari Bahagian Cerun dan Forensik, Jabatan Kerja Raya,” katanya.

Rahilah yang juga Pengerusi Bencana Daerah Petaling, berkata setakat jam 3.30 petang semalam sebanyak 46 cerucuk besi sudah dipasang di kawasan cerun runtuh dan kerja menanam cerucuk diteruskan hari ini.

FOTO: NSTP / Ihsan JKR

“Sebuah kereta dikeluarkan dari kawasan runtuhan pada jam 6 petang semalam.“

Pusat pemindahan sementara ditutup pada jam 9 malam tadi, dengan 29 penghuni sembilan rumah terjejas berpindah ke rumah saudara,” katanya.

Rahilah bersama beberapa petugas Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Majlis Bandar Raya Subang Jaya melawat tempat kejadian, pagi tadi.

Kejadian tanah runtuh itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.30 malam Sabtu lalu disebabkan hujan lebat bermula jam 5.45 petang.

Berikutan itu, seramai 29 penghuni di sembilan rumah di Jalan Wawasan 3/9 dan 3/14, di Puchong  diarah berpindah atas faktor keselamatan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini