![](https://media.buletintv3.my/2025/02/6vKmA25C-BULETIN-TV3-AD-7.jpg)
Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Usul bagi menyeragamkan beberapa agensi kerajaan akan dibentang dan diputuskan pada mesyuarat Kabinet dalam tempoh terdekat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan dalam melaksanakan reformasi institusi.
“Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan sudah saya tugaskan untuk memberi beberapa usul bagi menyeragamkan beberapa agensi dan dibawa kepada Ketua Setiausaha Negara.
“Saya akan putuskan selepas dibentangkan ke mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa singkat.” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan.
Jelasnya, sebelum ini beliau turut mengarahkan agensi di bawah kerajaan tidak dibenarkan untuk menubuhkan anak syarikat tanpa kelulusan peringkat tertinggi.
“Yang perlu diperhatikan selain jabatan, syarikat-syarikat yang ditubuhkan oleh agensi kerajaan.
“Saya telah beri arahan tidak boleh diwujudkan mana-mana syarikat di bawah agensi tanpa kelulusan peringkat tertinggi.
“Kerana ribuan syarikat-syarikat ini mencatatkan kerugian besar tetapi memutuskan untuk membatalkan. Itu bukan perkara mudah.” tegasnya.
Anwar turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang giat menekankan reformasi institusi.
Ia termasuk pelaksanaan pengauditan melibatkan jabatan serta syarikat kerajaan oleh Jabatan Audit Negara (JAN).
Minggu lalu, beliau berkata pengauditan menggunakan sistem berasaskan kecerdasan buatan (AI) merangkumi syarikat kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berhad menurut jaminan (CLBG).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.