KOTA BHARU: Seorang penyeludup membawa muatan diesel cuba melarikan diri dengan memecut keretanya hingga terbabas di perkarangan hospital di sini.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari semalam, suspek yang memandu kereta jenis Proton Gen 2 memecut kenderaannya sejauh 20 kilometer bermula dari Bachok, sebaik menyedari diekori pihak berkuasa.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, kejadian berlaku ketika Op Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan.
“Pasukan kami mengesan Proton Gen 2 dengan pendaftaran tempatan dalam keadaan mencurigakan berlegar-legar di jalan raya sekitar Bachok menghala ke Kota Bharu.
“Pemandunya dikesan membuat pembelian berulang di beberapa stesen minyak dipercayai untuk tujuan penyelewengan.
“Seterusnya pasukan mengekorinya dan sebaik menyedarinya, suspek terus memecut kenderaannya untuk melarikan diri sehingga memasuki kawasan Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) Kubang Kerian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Azman berkata, pemandu kereta itu cuba mencari jalan untuk meloloskan diri namun dengan bantuan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok dan Kota Bharu, suspek akhirnya dicekup sebaik kenderaannya terhalang di longkang mengakibatkan tayar keretanya pecah.
Katanya, pemeriksaan dalam kereta suspek menemui 800 liter diesel yang diisi dalam 32 tong plastik dengan anggaran nilai RM1,720.
“Suspek yang berusia 29 tahun itu juga ditahan reman selama tiga hari untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.