Oleh: Safwan Sawi
TAWAU: Kegiatan menyeludup keluar barang kawalan dalam kuantiti besar dibimbangi kembali berleluasa.
Perbuatan itu terbongkar susulan penahanan dua buah bot kargo membawa muatan barang kawalan di perairan Tawau di sini petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata bot tunda pertama membawa muatan 1,000 kilogram beras putih, 561 kilogram minyak masak peket, 325 liter bahan api jenis petrol, 48 kilogram gula pasir dan 4 tong gas petroleum cecair (LPG).
Manakala dalam bot tunda kedua pihaknya menemukan 10 gelen bahan api jenis diesel berisi kira-kira 250 liter minyak, 8 gelen bahan api jenis petrol anggaran 200 liter, 72 botol minuman keras pelbagai jenama dan 33 karton rokok tidak bercukai.
Katanya, bot ditahan di dua lokasi berasingan dalam jarak masa kira-kira 45 minit dengan bot pertama ditahan pada jam 1.45 petang dan bot kedua jam 2.30 petang.
Menurut Shahrizan, pemeriksaan mendapati kedua-dua juragan itu telah gagal mengemukakan sebarang permit serta lesen yang sah berkaitan barang kawalan yang dibawa mereka.
Kes disiasat mengikut Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Kastam 1967.
“Kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah hampir RM100,000,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.