comscore
Tumpuan :
Nasional

Penyelidikan berkualiti tingkat status kesihatan pergigian negara

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Hanya 25.7 peratus rakyat Malaysia menerima rawatan pergigian tahun lalu berdasarkan penemuan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023.

Susulan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, terdapat keperluan untuk mempergiat usaha meningkatkan status kesihatan pergigian di negara ini dengan melaksanakan penyelidikan berkualiti tinggi.

“Bagi menyokong keperluan meningkatkan status kesihatan pergigian, KKM telah memperkenalkan inisiatif ‘1 Individu: 1 Rekod Pergigian’.

“Program ini memperkasakan individu dengan memberikan akses kepada rekod pergigian mereka melalui Aplikasi MySejahtera,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan sempena Persidangan Inisiatif Penyelidikan Kesihatan Mulut Nasional (NOHRI) ke-3 yang berlangsung di sini hari ini.

Mengulas lanjut, KKM berkata, data status kesihatan mulut daripada Sistem Maklumat Pergigian (DIS) telah disepadukan ke dalam Aplikasi MySejahtera dan mewujudkan Rekod Kesihatan Sepanjang Hayat (LHR) yang komprehensif.

Katanya KKM, pendekatan digital itu bukan sahaja meningkatkan penjagaan pesakit tetapi menyokong perkhidmatan forensik pergigian terutamanya dalam proses Pengecaman Mangsa Bencana (DVI).

“KKM komited untuk memanfaatkan penemuan penyelidikan untuk membentuk dasar, mengembangkan inisiatif baharu dan meningkatkan aktiviti kesihatan pergigian yang sedia ada.

“Dedikasi komuniti pergigian dalam menghasilkan penyelidikan yang berkualiti tinggi akan mendorong penambahbaikan berterusan dalam penyampaian penjagaan kesihatan mulut di Malaysia,” katanya.

Ujarnya, Persidangan NOHRI kali ke-3 itu berfungsi sebagai platform penting untuk memperkasakan perkhidmatan kesihatan pergigian melalui penyelidikan dan pendekatan inovatif berdasarkan data.

Ia sejajar dengan komitmen Malaysia terhadap Pelan Tindakan Kesihatan Mulut Global (GOHAP) 2023-2030 yang memfokuskan kepada enam objektif strategik.

Enam objektif tersebut adalah tadbir urus kesihatan pergigian, promosi dan pencegahan penyakit, penjagaan kesihatan mulut, pembangunan tenaga kerja kesihatan, sistem pengurusan maklumat serta agenda penyelidikan.

“Sistem pengurusan maklumat kesihatan pergigian yang inovatif amat penting bagi meningkatkan pemantauan dan penerimaan maklum balas kesihatan pergigian yang berkenaan bagi membuat keputusan ke arah pembangunan dasar berasaskan bukti.

“Agenda penyelidikan kesihatan pergigian yang dibangunkan juga menekankan kepada konteks dan keperluan spesifik penyelidikan berkaitan kesihatan awam pergigian,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini