TAWAU: Penyelia kewangan di sebuah syarikat perladangan di sini, ditahan kerana disyaki melakukan gangguan seksual terhadap seorang pelatih industri, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner, Jasmin Hussin berkata, tangkapan dibuat susulan laporan dibuat mangsa berusia 23 tahun.
“Dalam laporannya, wanita itu mendakwa sering menjadi sasaran gangguan seksual oleh suspek yang kerap bertanyakan soalan menggunakan perkataan lucah menyebabkan dia berasa tidak selesa.
“Suspek juga dikatakan memandang rendah keupayaan dan kebolehan selain kerap membandingkannya dengan pelatih lain yang sebelum ini pernah menjalani latihan industri di syarikat berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Jasmin berkata, bertindak atas laporan itu, suspek berusia 34 tahun ditahan di pusat bandar di sini, kira-kira jam 12.10 tengah hari.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 kanun yang sama,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.