Tumpuan :
Nasional

Penyelia didakwa tipu warga emas RM200,000 

Penyelia syarikat, A Gunasegaran, 56, didakwa memperdayakan seorang warga emas berhubung pengambilan pekerja asing membabitkan kerugian hampir RM200,000.

SEREMBAN: Seorang penyelia syarikat diheret ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memperdayakan seorang lelaki berhubung pengambilan pekerja asing membabitkan kerugian hampir RM200,000.

Tertuduh A Gunasegaran, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah  di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Tertuduh didakwa memperdayakan seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun bahawa tertuduh boleh mendapatkan kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi pengambilan pekerja warga asing sedangkan ia tidak sebagaimana yang dijanjikan.

Ia mendorong mangsa menyerahkan wang RM185,932 dengan memasukkan ke dalam tiga akaun bank milik tertuduh yang mana mangsa tidak akan menyerahkannya jika tidak diperdaya demikian.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu  Januari 2018 hingga 5 Ogos 2022 di Lukut, Port Dickson.

Dakwaan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dengan sebat serta denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulfikri Mohd Nasir menawarkan jaminan RM100,000 kerana  ia kesalahan serius selain mahkamah perlu mengambil kira jumlah kerugian mangsa.

Peguam V Segaran  pula memohon jaminan rendah kerana anak guamnya baru sahaja bekerja selepas lapan bulan menganggur kerana menjalani pembedahan lutut.

Norshila menetapkan jaminan RM50,000 dengan syarat tambahan pasport perlu diserah kepada mahkamah serta melapor diri di balai polis berhampiran.

Sebutan semula kes untuk serahan dokumen 12 Jun depan.

Loading...
Terkini