KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan kerja ke London dengan mengadakan pertemuan dua hala bersama rakan sejawatnya, Perdana Menteri United Kingdom, Sir Keir Starmer.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin membincangkan pelbagai isu, termasuk usaha mencari penyelesaian terhadap konflik di Gaza serta memperkukuhkan hubungan Malaysia-UK dalam bidang pendidikan, ekonomi, pertahanan, tenaga, dan kecerdasan buatan.
“Kami senada dan sepakat untuk meningkatkan kerjasama strategik lebih erat dan rapat dalam pelbagai bidang serta turut membincangkan penyelesaian isu Gaza,” kata Anwar dalam kenyataan di Facebook.
Beliau turut memaklumkan bahawa hasil perbincangan akan dibawa ke peringkat menteri masing-masing bagi memastikan pelaksanaan yang lebih teratur dan tersusun.
Sebagai lawatan rasmi pertama ke Eropah selaku Pengerusi ASEAN, Anwar turut menegaskan kesediaan Malaysia untuk menerima lebih ramai pelabur.
“Saya menggunakan kesempatan ini bagi menyatakan kesediaan Malaysia untuk menerima lebih ramai pelabur sekaligus membentuk sinergi ekonomi baharu,” tambahnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.