comscore
Tumpuan :
Nasional

Penyelesaian jangka pendek akan dilaksana jika OPA gagal atasi kemarau di Kelantan

 

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

SHAH ALAM: Proses meletupkan atau memecahkan batu hamparan berhampiran Rumah Pam Kemubu, Kota Bharu di Kelantan adalah antara beberapa penyelesaian jangka pendek bagi mengatasi musim kemarau di negeri berkenaan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata inisiatif itu akan dibuat jika operasi pembenihan awan (OPA) selama tiga hari mulai kelmarin, di tujuh lokaliti sekitar Kelantan, tidak berhasil.

Beliau berkata, proses berkenaan bagi memberi laluan kepada proses penjajaran air ke pam Kemubu dengan harapan OPA boleh menghasilkan hujan dalam masa terdekat, sekali gus meningkatkan paras air di kawasan pam bagi operasi sedia ada di Pam Kemubu I dan II.

Selain itu, katanya, telaga tiub akan dipasang di 280 lokasi dikenal pasti di sekitar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), sebagai alternatif mengatasi musim kemarau di Kelantan.

“Beberapa telaga tiub sudah dibuat dalam masa terdekat dan operasi antara dua atau tiga telahpun dilaksanakan. Kita lihat di telaga tiub itu ada air yang boleh digunakan, selain perlu melihat perkembangan semasa antara dua hingga tiga hari lagi”

“Seterusnya, kita melihat kepada ‘shift piles’ atau pelaksanaan beberapa jajaran di Sungai Kelantan dimana proses ini memerlukan kebenaran kerajaan negeri. Ia akan menjadi antara pelan jangka pendek dan sederhana yang boleh dilaksanakan”

“Bagi penyelesaian jangka panjang, kita akan mencadangkan (pembinaan) ampang jajar di kawasan Sungai Kelantan dengan perincian bakal dikemukakan pada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13),”

Beliau berkata demikian pada sidang media sebelum menyertai OPA di tujuh lokaliti di Kelantan menggunakan Kapal Pengangkut C130H di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara, Datuk Khairul Shahril Idrus serta Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi, Dr Mohd Hisham Mohd Anip.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Rabu lalu, dilaporkan berkata kerajaan bersetuju melaksanakan OPA di Kelantan susulan permohonan daripada KADA bagi menangani impak cuaca panas serta Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga hujung September depan.

Justeru, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, dana bernilai RM5 juta daripada Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara digunakan bagi menjayakan OPA berkenaan.

Taburan hujan rendah dicatatkan bermula Februari hingga April lalu, menyumbang kepada penyusutan paras air Sungai Kelantan serta menggangu operasi pam di seluruh kawasan KADA.

Bagi membolehkan Rumah Pam Kemubu beroperasi sepenuhnya, Sungai Kelantan perlu mencapai aras air pada ketinggian 4.9 meter (m), namun paras air sungai berkenaan pada bacaan terendah iaitu 2.19m pada minggu kedua April lalu, seperti direkodkan KADA.

Sementara itu, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, negara akan berdepan kekurangan kira-kira empat peratus daripada keseluruhan jumlah pengeluaran beras, jika proses penanaman padi sekitar Kelantan, gagal dibuat ekoran musim kemarau berpanjangan.

Selain itu, katanya, proses penanaman padi di  beberapa negeri lain setakat ini, belum berada di tahap mencemaskan dengan taburan hujan direkodkan pada kadar positif di beberapa kawasan di seluruh negara.

“Semalam hujan lebat di sekitar Bagan Serai, Perak dan saya berada di sekitar sana ketika itu. Saya nampak memang berlaku catuan air di Bukit Merah, Perak ketika ini, tetapi dengan hujan lebat dua malam berturut-turut, kita harap ia mampu meningkatkan paras air di situ,” katanya.

Mengenai OPA di Kelantan, katanya, tumpuan diberikan di sekitar Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Puteh, Dabong, Kemubu dan Manek Urai dengan campuran air garam dilepaskan pada ketinggian antara 5,000 hingga 7,000 kaki, bertujuan meningkatkan paras air semasa Sungai Kelantan yang menjadi sumber utama pengairan kawasan penanaman padi seliaan KADA.

Beliau berkata, hari pertama pelaksanaan OPA kelmarin, menghasilkan hujan di zon selatan Kelantan, namun operasi didapati kurang berkesan semalam, susulan tiada pembentukan awan bersesuaian, menyebabkan tiada hujan direkodkan.

“Operasi ini dijangka dapat menambah baik sistem pengairan di kawasan Kemubu yang mengalami kemarau berpanjangan. Ia secara langsung memberi manfaat kepada hampir 3,400 pesawah di kawasan ini.

“OPA ini adalah tindakan interim bagi menangani isu kekurangan bekalan air bagi penanaman padi. Sebelum ini, pelbagai inisiatif sudah dilaksanakan kepada pesawah, meliputi bantuan pam mudah alih, ‘booster pump’, pembinaan telaga tiub dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Hisham berkata, pembentukan awan kumulus menara atau kumulonimbus, diperlukan bagi memastikan kejayaan proses pembenihan awan menghasilkan hujan lebat di sesuatu kawasan.

“Apabila awan itu mula terbentuk dan kita ‘seed’ (melakukan proses pembenihan awam), insya-Allah ia akan turunkan hujan dengan banyak di kawasan terbabit. Biasanya kita akan sediakan empat tong dengan setiap daripadanya mengandungi bancuhan terdiri daripada 200 kilogram garam dan 1,500 liter air,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini