
KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan media sosial yang beroperasi tanpa lesen boleh dikenakan penalti atau denda sehingga RM1 juta, jika disabitkan kesalahan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, tindakan itu boleh diambil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selepas Akta Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2025 [Akta A1743] berkuat kuasa pada 11 Februari lalu.
“Jika disabitkan kesalahan, penyedia perkhidmatan berkenaan boleh dikenakan penalti yang dipinda iaitu denda tidak melebihi RM1 juta atau 10 tahun penjara, atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan denda selanjutnya RM100,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas pensabitan.
“Dalam kes pelanggaran ini, MCMC akan mempertimbangkan tahap keseriusan pelanggaran, impak serta kekerapan dan rekod pematuhan Penyedia Perkhidmatan yang dimaksudkan dalam memutuskan tindakan yang bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab soalan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) apakah hukuman kepada pengendali platform media sosial yang gagal memohon lesen Penyedia Media Sosial.
Fahmi berkata setakat 13 Februari lalu, tiga syarikat Penyedia Perkhidmatan sudah dilesenkan iaitu WeChat International Pte Ltd (WeChat) dan TikTok Pte Ltd (TikTok) pada 1 Januari sementara dan Telegram Messenger Incorporated (Telegram) pada 2 Januari.
“MCMC sentiasa memastikan industri komunikasi dan multimedia di dalam negara dikawal selia dengan baik demi kebaikan rakyat,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.