comscore
Tumpuan :
Nasional

Penyebaran kandungan Si Hulk, KKD jumpa TikTok

KUALA LUMPUR: Perbincangan akan diatur dengan TikTok bagi memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengenal pasti kandungan membabitkan penyebaran ajaran sesat Si Hulk.

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil berkata, pihaknya berdepan kesukaran untuk menjejak penyebaran video dan perkongsiannya di platform media sosial seperti TikTok.

“Saya bagi contoh TikTok, seringkali sukar untuk kita jejak atau mengenal pasti video yang sama dikongsi di mana dan akaun mana. Ini disebabkan kadangkala tanda dan ayatnya berbeza tetapi videonya sama.

“Ini antara sebab mengapa kita (mahu) mengadakan perbincangan dengan pihak TikTok untuk membantu terutama aspek penguatkuasaan, memandangkan ia sangat berbeza daripada Twitter, WhatsApp, Instagram dan Facebook kerana visual, ” katanya selepas Majlis Penyerahan Watikah Komuniti Madani Peringkat Wilayah Persekutuan hari ini.

Dilaporkan, ajaran sesat SiHulk giat menggunakan platform media sosial untuk menyebarkan fahaman mereka dengan pengakuan daripada beberapa individu dipercayai pengikut ajaran itu bahawa Nabi Muhammad SAW adalah tuhan.

Mengulas lanjut, Fahmi memaklumkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga mempunyai kerjasama berkaitan bahan kandungan melibatkan ajaran sesat.

“Sekiranya ada sebarang bahan kandungan yang didapati mengandungi apa yang diklasifikasikan sebagai ajaran sesat, maka tindakan pantas boleh diambil,” katanya.

Menyentuh mengenai ancaman serangan ‘phishing’, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menyatakan pihaknya akan membawa usul bagi meminda Akta Perlindungan Data Peribadi (Akta 709) ke Parlimen untuk diluluskan.

“Ada penambahbaikan penting yang perlu, memandangkan Akta 709 pada waktu ini agak lapuk dan banyak yang telah berubah terutama konsep data itu sendiri berubah dengan sangat mendadak.

“Sebagai contoh data geo-lokasi pada waktu ini tidak dikira sebagai data dalam Akta 709. Ini kita perlu kembangluaskan.”Pada masa yang sama, dari segi penguatkuasaan, kita perlu memantapkan lagi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC),” katanya.

Loading...
Terkini