Oleh: Fareez Azman & Ridhwan Rusydi Azri Roslan
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan beliau bukan seperti ‘Robin Hood’ yang didakwa sesetengah pihak apabila memperkenalkan penyasaran subsidi terhadap golongan berpendapatan tinggi dalam Belanjawan 2025 baru-baru ini.
Sebaliknya ujar Anwar, beliau hanya bertindak adil dalam membantu golongan berpendapatan rendah di negara ini,
“Kalau kita nak jaga golongan miskin, kita mesti ada sumber yang cukup. Kita mewarisi hutang sehingga RM1.5 trillion dan kita tidak mahu cukai rakyat. Cuma kita cukai sedikit terhadap golongan maha kaya.
“Itu bukan Robin Hood, tetapi hanya menarik subsidi,”jelasnya ketika berucap dalam Program Temu Anwar di Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) di sini.
Tegasnya, Malaysia antara negara yang memberikan subsidi tertinggi dan sistem pencukaian terendah di dunia.
“Bayangkan, ada golongan terkaya di negara ini, dimana polisi kita sebelum ini mereka dapat subsidi elektrik dari kerajaan.
“Kerajaan cuma mahu mereka bayar harga kos, bagi saya itu adil. Jika ada pihak yang nak jadikan isu politik, tidak adil dan tidak munasabah, itu kerana melibatkan perniagaan mereka,” tegasnya lagi.
Tambah Perdana Menteri, beliau akan terus melaksanakan sebaiknya demi menyelamatkan rakyat dan negara ini.
Turut hadir dalam program itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Naib Canselor UPNM, Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad.