Tumpuan :
Nasional

Penyanyi veteran Hail Amir meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon veteran era 1970-an, Datuk Abdul Hail Amir menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 3.43 petang.

Berita pemergiannya Hail atau nama sebenar, Abdul Hail Amir disahkan oleh anaknya, Cinta Hailfi.

“Iya Papa meninggal jam 3.48 petang tadi. Papa meninggal sebab jangkitan paru-paru, tapi Papa memang sakit jantung dan itu melemahkan dia,” katanya.

Turut mengesahkan perkara tersebut, Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi.

“Kami (Seniman) sebenarnya baru sahaja ingin melawat beliau di HKL, namun pihak hospital menelefon kami dan memberitahu bahawa beliau telah meninggal dunia,” katanya.

Sebelum ini, penyanyi itu dimasukkan ke HKL selepas mengalami masalah batuk berterusan, sejak kelmarin.

Sepanjang pembabitannya dalam dunia seni, Hail yang berasal dari Pulau Pinang, terkenal sebagai pasangan duet kepada penyanyi bersuara lunak, Uji Rashid.

Lagu popular mereka seperti Hujan, Menunggu Nasi Minyak, Antara Matamu dan Mataku termasuk lagu Seloka Hari Raya menjadi siulan ramai.

Selain menyanyi, bapa kepada empat cahaya mata ini terkenal di layar perak. Antara filem popular lakonannya adalah Jiwa Remaja, Cinta Dan Lagu, Menanti Hari Esok, Sesejuk Air Mata Ibu dan Anita Dunia Ajaib.

Selepas lebih lima dekad terbabit dalam dunia seni, Hail dikurniakan gelaran darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk pada 2022.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini