Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Penyanyi dikir barat wanita rancang buat persembahan di Kedah sebelum ditahan

Enam rakyat Malaysia diiring menaiki trak polis di balai polis Sungai Golok untuk dibawa ke Mahkamah Wilayah Narathiwat. – Foto NSTP

SUNGAI GOLOK: Penyanyi dikir barat wanita yang ditahan bersama lima rakannya Jumaat lalu di sebuah hotel di Golok, di sini dijadual membuat persembahan di Kedah, beberapa hari sebelum dia ditahan.

Menurut keluarganya yang enggan dikenali, wanita berusia 29 tahun itu akan ditemani suaminya yang berusia 34 tahun ke Kedah sebelum kedua-dua mereka ditahan.

“Menjadi kebiasaan pasangan itu akan singgah ke Thailand apabila ingin melancong ke Kedah atau negeri-negeri utara lain di Malaysia.

“Dalam perjalanan menuju ke Kedah, mereka mengambil kesempatan singgah di pekan Sungai Golok untuk berjumpa rakan sebelum meneruskan perjalanan,” katanya.

Seorang lelaki yang juga saudara kepada salah seorang daripada enam individu itu pula berkata, mereka akan menyerahkan kepada polis Thailand untuk menyiasat kes itu.

“Kami harap rakyat Malaysia tidak membuat spekulasi kes itu dan menyerahkan kepada polis Thailand menjalankan siasatan terhadap kes itu,” katanya.

Jelasnya, mereka sekeluarga masih terkejut dengan kejadian itu dan percaya keenam-enam individu itu tidak bersalah.

“Kami berharap akan ada keajaiban dalam kes itu dan mereka akan kembali dengan selamat,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau menyifatkan keenam-enam individu itu dikhianati oleh ‘rakan mereka sendiri’ dan berdoa agar pelakunya segera ditangkap.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini