Tumpuan :
Nasional

Penyanyi dikir barat perlu melalui tujuh proses soal siasat sebelum kes dibawa ke mahkamah

Pengarah Penjara Narathiwat, Surin Chantep. – FOTO: NSTP

NARATHIWAT: Penyanyi dikir barat Kelantan dan lima individu lain yang ditahan memiliki pil yaba di Golok pada 1 November lalu sudah menjalani lima sesi soal siasat sejak dihantar ke penjara di sini.

Pengarah Penjara Narathiwat, Surin Chantep berkata, mereka akan melalui tujuh proses soal siasat sebelum dibawa ke mahkamah.

“Lima proses sudah dilalui mereka termasuk yang kelima pada hari ini sejak mereka dihantar ke penjara pada 4 November lalu. Untuk proses hari ini, soal siasat bermula jam 9 lagi (waktu Thailand) sebelum berakhir tengah hari tadi.

“Sesi soal siasat hari ini diadakan melalui sidang video. Ada dua lagi sesi soal siasat untuk polis sebelum kes itu boleh dibawa ke mahkamah,” katanya kepada media akhbar Malaysia ketika ditemui di pejabatnya.

Surin berkata, keluarga banduan termasuk dari Malaysia dibenarkan melawat banduan lima hari dalam tempoh seminggu.

“Mulai 1 Januari tahun ini, keluarga banduan dibenarkan melawat mereka pada Rabu, Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad.

“Sebelum ini, kami hanya membenarkan mereka melawat banduan pada setiap Khamis,” katanya lagi.

Mengenai makanan yang dihidangkan kepada penyanyi itu, dia berkata, ia sama dengan hidangan hariannya.

“Kami menghidangkan nasi goreng bersama buah-buahan dan sayur campur dan keluarga penyanyi itu dibenarkan memesan makanan dari kafe penjara untuknya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, penyanyi dikir barat popular dan lima rakyat Malaysia itu ditahan kerana didakwa memiliki 6,000 pil Yaba di sebuah hotel di pekan Sungai Golok pada 1 November lalu.

Susulan penahanan mereka, Mahkamah Narathiwat membenarkan polis untuk perintah penahanan lanjut terhadap enam mereka selama tiga bulan atau sehingga 84 hari mulai 4 November.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini